Program “Plant to 1000” Perkukuh Usaha Penghijauan Bandar dan Pendidikan Alam Sekitar

IPOH, 11 September 2025 – Program “Plant to 1000” anjuran Junior Chamber International (JCI) Ipoh dengan kerjasama strategik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar telah berlangsung dengan meriah di AEON Station 18, Ipoh pada 23 Ogos 2025. Program ini berjaya menarik penyertaan ratusan peserta yang terdiri daripada pelajar, pensyarah, sukarelawan dan komuniti setempat.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak. Dalam ucapannya, beliau menyifatkan program ini sebagai satu inisiatif tepat dalam menyokong agenda negeri ke arah pembangunan mampan dan gaya hidup hijau. “Program seperti ini bukan sahaja memberi kesedaran tentang kepentingan penjagaan alam sekitar, tetapi juga melibatkan secara langsung golongan muda dan komuniti dalam usaha menanam pokok dan memelihara ekosistem bandar,” ujar beliau.

Turut hadir memberikan sokongan ialah barisan pensyarah dan warga akademia UiTM Cawangan Perak termasuk Professor Dato’ Dr Abdullah Mohamad Said, TPr. Dr Kushairi bin Rashid, Dr Muhamad Ferdhaus Sazali, Ts. Gs. Dr Hasnizam Ab Dulhamid, En. Fadhlizil Fariz Abdul Munir, Dr Muhamad Azal Fikri Ali serta wakil misi akademik, Dr Nor Izana Mohammed Sobri. Program ini turut disertai oleh guru dan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan seperti penanaman pokok di sekitar AEON Station 18, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, permainan pendidikan (board games), pameran oleh agensi swasta dan misi akademik UiTM Perak, serta demonstrasi tanaman pokok. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menggalakkan kesedaran hijau, malah memberi pengalaman pembelajaran secara praktikal kepada para peserta.

Presiden JCI Ipoh, Emily Wong menyatakan bahawa program “Plant to 1000” bukan sekadar aktiviti penanaman pokok, tetapi turut menekankan aspek pendidikan alam sekitar, semangat kesukarelawanan dan kolaborasi antara komuniti dan institusi pendidikan.

Wakil UiTM Perak, Dr Muhamad Ferdhaus turut menegaskan komitmen UiTM untuk terus berkongsi ilmu, teknologi dan kepakaran kepada masyarakat, sekali gus memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi dalam pembangunan lestari.

Program ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif penghijauan di kawasan bandar sekitar Perak serta memberi impak jangka panjang terhadap kualiti udara, kelestarian komuniti dan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar.