Program Casuarajawali 2025 Perkukuh Jaringan Serantau dan Kepimpinan Mahasiswa UiTM

PUNCAK ALAM, 30 Ogos 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam melalui Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kolej Kediaman Casuarina telah berjaya melaksanakan Program Casuarajawali 2025 to Jakarta & Bandung selama tujuh hari bermula 23 hingga 29 Ogos 2025. Bertemakan “A Heart for ASEAN: Empowering Youth, Embracing Unity”, program ini melibatkan 20 pelajar dalam usaha memperkukuh kerjasama antarabangsa dengan institusi pendidikan tinggi di Indonesia.

Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara JPK Casuarina dengan Universitas Negeri Jakarta (UNJ), Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) Bandung, STKIP Pasundan dan Kampung Adat Cireundeu. Turut menyokong pelaksanaan program ialah MASMED UiTM, Fakulti Pendidikan, Education Malaysia Indonesia Jakarta serta penaja utama: KAS Engineering, Pertubuhan Kebajikan Dana Kita dan Wardah.

Menurut Pengarah Program, Elmerlorence Tierney Anak Andry, Casuarajawali 2025 berjaya memupuk semangat kesukarelawanan, keusahawanan sosial dan pemahaman budaya serantau melalui pendekatan knowledge transfer. Pelajar UiTM berkongsi kemahiran teknologi maklumat, reka bentuk dan keusahawanan sosial kepada komuniti tempatan, selaras dengan matlamat MASMED dalam membangunkan ekosistem keusahawanan mampan merentasi sempadan.

Antara aktiviti berimpak tinggi yang dijalankan termasuk Bengkel Canting Nusantara yang memperkenalkan teknik batik Malaysia dan Indonesia sebagai warisan budaya bersama; Karnival STEM yang menggalakkan minat pelajar terhadap sains melalui eksperimen roket air dan sistem pam; serta Program Cassava Couture yang membangunkan kemahiran reka bentuk pembungkusan produk makanan berasaskan ubi kayu menggunakan Canva, khusus untuk pengusaha wanita desa.

Program ini turut melibatkan 170 murid SDN Cireundeu dan 24 peserta STKIP Pasundan dalam aktiviti khidmat masyarakat yang memberi impak langsung kepada komuniti setempat.

Rektor UiTM Cawangan Selangor selaku penaung program menyatakan bahawa Casuarajawali 2025 selaras dengan Aspirasi UiTM 2025 melalui Modul UTAMA (Usaha, Taqwa, Mulia), yang memperkukuh jati diri dan kepimpinan mahasiswa. Beliau menegaskan bahawa program ini membuktikan komitmen UiTM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga memiliki kesedaran sosial yang tinggi.

Pengetua Kolej Kediaman Angsana Casuarina, Puan Nurul Ainun Ahmad Atory turut menyatakan bahawa pelajar UiTM menunjukkan keupayaan sebagai duta budaya yang berkesan melalui aktiviti seperti Citra Permainan Melayu dan Sentuhan Kuih Tradisional, yang memupuk perpaduan dan penghargaan terhadap warisan budaya Nusantara.

Sepanjang program, Dialog Kelestarian ASEAN telah menghasilkan empat resolusi penting dalam bidang kesihatan mental, keusahawanan sosial, kepimpinan ASEAN dan kesenian budaya. Resolusi ini akan dibawa ke institusi masing-masing sebagai legasi program.

Casuarajawali 2025 menyumbang kepada sembilan Penunjuk Prestasi UiTM termasuk kolaborasi antarabangsa dan kesukarelawanan, serta menyokong sembilan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) PBB. Kejayaan ini diharap menjadi model kerjasama pendidikan tinggi ASEAN yang menggabungkan akademik, kesukarelawanan dan diplomasi budaya dalam satu platform bersepadu.