Persidangan iCAAS 2025 Perkukuh Peranan Sains dan Teknologi dalam Agenda Kelestarian

KUCHING, SARAWAK – 7 Ogos 2025 Persidangan “International Conference on Advanced Applied Sciences & Sustainability 2025 (iCAAS 2025)” telah berjaya dianjurkan pada 6 hingga 7 Ogos 2025 bertempat di Raia Hotel & Convention Center, Kuching, Sarawak. Persidangan berprestij ini dianjurkan oleh Centre of Excellence in Wood Engineered Products (CeWEP), Universiti Teknologi Sarawak (UTS), dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dan Sarawak Timber Industry Development Corporation (STIDC).

Bertemakan “Sustainability Through Science Innovation”, iCAAS 2025 menekankan kepentingan penyelidikan antara disiplin dalam menangani isu-isu global seperti perubahan iklim, pengurusan sumber semula jadi, dan pengeluaran yang bertanggungjawab. Persidangan ini menjadi platform strategik untuk para akademia, saintis dan pemimpin industri berkongsi pengetahuan serta idea inovatif ke arah masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan.

UiTM telah menunjukkan komitmen tinggi dalam persidangan ini melalui penyertaan aktif sebanyak 16 pembentangan kertas kerja dan 5 pembentangan poster oleh para penyelidik dan pelajar. Kecemerlangan UiTM turut diiktiraf melalui penganugerahan:

  • Anugerah Pembentang Terbaik kepada
    • Dr. Siti Sahmsiah Sahmat (UiTM Cawangan Sarawak) menerusi pembentangan bertajuk “Early Growth Performance of Tissue-Cultured Ginger in Response to Organic Matter and Paddy Husk Media Achievement”
    • Dr. Aisyah Salihah Kamarozaman (UiTM Cawangan Selangor) dengan tajuk “Phytochemical Constituents and Bioactivities of Shorea leprosula Miq”
  • Anugerah Poster Terbaik kepada
    • Dr. Rabuyah Ni (UiTM Cawangan Sarawak) menerusi tajuk “Utilizing Spent Coffee Grounds as a Sustainable Adsorbent for Crystal Violet Dye Removal”

Pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi UiTM dalam memperkasa bidang sains gunaan dan kelestarian melalui penyelidikan berimpak tinggi serta kolaborasi strategik. Penganjuran bersama dengan UTS turut memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi di Sarawak dalam memacu agenda penyelidikan yang lebih bersepadu dan relevan.

iCAAS 2025 diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kolaboratif dalam penyelidikan dan pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat, industri dan dasar awam. Persidangan ini juga diyakini mampu memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab ilmu dan inovasi dalam bidang kelestarian di peringkat serantau dan antarabangsa.