
SHAH ALAM, 11 September 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam sekali lagi mencatat kejayaan membanggakan apabila pelajar Sarjana dari Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (FSSR), Misbaahussalam bin Zakaria, bersama penyelianya Datin Dr. Rusmawati binti Ghazali, telah meraih tempat pertama dalam Pertandingan Youth Innovative Challenge (YIC) 2025 menerusi projek inovatif bertajuk Scopine Leather pada 28 Ogos 2025. Kemenangan ini melayakkan beliau menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000.00.
Pertandingan berprestij ini dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan pelaksanaan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), bertujuan menghimpunkan bakat inovator sosial muda dari institusi pengajian tinggi seluruh negara.
Projek Scopine Leather memperkenalkan bahan alternatif kulit mesra alam berasaskan SCOBY kombucha – lapisan biopolimer hasil penapaian teh kombucha – yang diperkaya dengan ekstrak kulit nanas sebagai nutrien tambahan. Inovasi ini menggabungkan elemen sains, seni reka dan kelestarian, serta memberi nilai tambah melalui penggunaan semula sisa pertanian.

Turut mencatat kejayaan ialah Nurul Izzah Wahidah binti Abdul Wahid, pelajar FSSR UiTM di bawah seliaan Dr. Noor Azly Mohammed Ali, yang meraih tempat kedua dengan projek bertajuk Wahii’s Bookmark Packaging Series Innovation with Augmented Reality. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500.00. Inovasi ini menampilkan reka bentuk interaktif berasaskan teknologi AR yang menggabungkan elemen praktikal dan kreativiti visual.
Pertandingan YIC 2025 turut menyaksikan penyertaan aktif daripada tiga lagi pelajar Jabatan Seni Reka Teknologi Barang Kemas, FSSR UiTM, iaitu Muhamad Syazwan bin Shamsul Kamal, Nur Aishah binti Abdullah, dan Nurul Anis Syahirah binti Mohd Nasri. Penyertaan mereka menyerlahkan kepelbagaian idea baharu serta potensi kreatif warga FSSR dalam bidang reka bentuk barang kemas.
Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama UiTM di peringkat nasional, malah membuktikan peranan FSSR sebagai pusat kecemerlangan akademik dan inovasi kreatif yang terus melahirkan graduan berdaya saing, kreatif dan inovatif, selaras dengan aspirasi negara ke arah pembangunan berteraskan ilmu dan teknologi.
