INDES 2025 Raikan Kreativiti Global di UiTM Seri Iskandar

SERI ISKANDAR, 13 Ogos 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak sekali lagi menjadi tuan rumah kepada acara tahunan berprestij, The 14th International Invention, Innovation & Design Competition (INDES 2025) yang berlangsung meriah di Dewan Seri Iskandar (DSI) dan Dewan Ibn Al-Khatib (DIAK), Kampus Seri Iskandar pada 26 Jun 2025.

Pertandingan ini menghimpunkan 263 pasukan dari pelbagai latar belakang termasuk institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari dalam dan luar negara, pengamal industri, pelajar kolej vokasional serta pelajar sekolah menengah dan rendah. Para peserta telah mempamerkan ciptaan dan idea inovatif dalam usaha merebut pelbagai kategori anugerah seperti Anugerah Emas, Perak, Gangsa, Anugerah Best of the Best mengikut kategori penyertaan, Anugerah Inovasi Antarabangsa dan Anugerah Pemenang Keseluruhan (Anugerah Diamond).

Karya bertajuk Online Finding Archive: Online Search and Booking System of Archival Materials telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Diamond, mengangkat nilai inovasi dan keberkesanan sistem pencarian arkib secara dalam talian.

Bagi memperkukuh kesedaran terhadap perlindungan harta intelek, pihak Penyelidikan Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (PJIM&A) UiTM Perak telah menjemput Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Wilayah Utara untuk membuka kaunter pendaftaran rasmi di lokasi acara. Inisiatif ini bertujuan memudahkan para pencipta mendaftarkan hasil karya mereka secara sah dan mendapat pengiktirafan melalui sijil hak cipta. Sambutan yang diterima amat menggalakkan, mencerminkan kesedaran tinggi terhadap kepentingan perlindungan hak cipta dan nilai intelek.

Kerjasama erat antara UiTM dan MyIPO ini turut memperkukuh kredibiliti hasil ciptaan peserta, memastikan projek-projek yang didaftarkan dilindungi daripada penyalahgunaan serta diiktiraf secara rasmi sebagai karya asli dan berinovasi.

INDES 2025 terus membuktikan komitmen UiTM dalam memupuk budaya inovasi dan reka cipta di peringkat global, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan generasi pencipta yang berdaya saing dan berimpak tinggi.