
KOTA SAMARAHAN, 8 Ogos 2025 – Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah berjaya menganjurkan Pertandingan Hero Matematik Piala Dato Sri Roland Sagah 2025 dan Karnival Mini STEM bertempat di Dewan Jubli UiTM Cawangan Sarawakpada 25 Jun 2025. Program ini merupakan inisiatif khidmat komuniti UiTMCS dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Persatuan Guru Besar Malaysia (Cawangan Sarawak) dan Persatuan Sains dan Matematik UiTM Sarawak (PRISMATICS), serta mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Sarawak Energy Berhad, Yayasan Sarawak, dan Bank Rakyat.
Seramai 258 orang murid daripada 86 buah sekolah rendah di daerah Kuching, Samarahan dan Serian telah menyertai pertandingan ini, yang bertujuan menyemai minat terhadap Matematik dan memperkukuh asas STEM dalam kalangan generasi muda.
Selain pertandingan ujian bertulis yang menguji penguasaan kandungan Matematik Tahap 2, program ini turut menampilkan Karnival Mini STEM yang meriah dengan aktiviti interaktif seperti Math Bingo, Drone Soccer, Equation Target, pameran robotik, dan pelbagai lagi aktiviti menarik. Reruai-reruai ini dikendalikan oleh pelajar UiTM Cawangan Sarawak bersama Duta STEM dari SK Merdang, dengan sokongan Lighthouse of Hope (Sarawak), sebuah NGO yang aktif memperkasa pendidikan STEM di negeri ini.


Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Datuk Dr. Haji Annuar bin Rapa’ee, Timbalan Menteri I (Pendidikan Tinggi dan Inovasi), yang mewakili YB Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD). Dalam majlis tersebut, adik Alice Wong Qiao Wei dari SJK(C) Stampin telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Individu Unggul Hero Matematik 2025, manakala pasukan dari SJK(C) Chung Hua Sungai Jernang muncul sebagai Pasukan Unggul.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Professor Dr. Firdaus Abdullah, Rektor UiTM Cawangan Sarawak; Puan Hajah Siti Zulaiha binti Ibrahim, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran (SBP), JPNS; Encik Mohamad Hafizi bin Talhah, Ketua Seksyen Program dan Bantuan Yayasan Sarawak; Puan Nor Hazizah binti Julaihi, Ketua Projek Pertandingan Hero Matematik; para guru, murid dan tetamu jemputan.
Program ini bukan sahaja berjaya menyemai minat murid terhadap Matematik, malah turut mengukuhkan jaringan strategik antara UiTM Cawangan Sarawak dan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi pendidikan, industri serta komuniti. Pelaksanaannya membuktikan komitmen berterusan universiti dalam memperkasa pembangunan masyarakat secara mampan.
UiTM Cawangan Sarawak yakin bahawa pertandingan ini wajar dijadikan acara tahunan dalam usaha berterusan menyemai minat terhadap Matematik dan memperkukuh ekosistem STEM negeri. Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
