
SHAH ALAM, 4 Ogos 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa budaya kerja berteraskan inovasi dan kualiti melalui penganjuran Simposium Kecemerlangan Operasi 2025, yang berlangsung secara dalam talian menerusi saluran YouTube rasmi Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA). Bertemakan “Memperkasa Inovasi, Mentransformasi Operasi”, simposium ini menekankan kepentingan budaya inovasi dalam kalangan warga kerja universiti sebagai pemacu transformasi operasi dan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berdaya saing.
Simposium ini merupakan program tahunan berimpak tinggi yang digerakkan oleh InQKA sejak tahun 2017, selaras dengan aspirasi UiTM untuk memperkukuh sistem pengurusan operasi secara menyeluruh. Ia menjadi platform strategik bagi perkongsian amalan terbaik, penyemaian budaya penambahbaikan berterusan, serta pengukuhan hubungan antara universiti dan industri.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBrs. Profesor Dr. Haslinda Yusoff, Penolong Naib Canselor InQKA, yang menyeru agar warga UiTM terus menjadi agen perubahan melalui inovasi dan keberkesanan proses kerja. Simposium dirasmikan oleh YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin, FASc, Naib Canselor UiTM, yang menegaskan bahawa budaya kecemerlangan perlu dihayati secara menyeluruh dan dijadikan prinsip teras dalam setiap tindakan organisasi.


Menyerikan sesi perkongsian utama ialah dua tokoh industri yang dijemput khas. Encik Hairul Mubarak Haji Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Victorious Step Sdn Bhd, membentangkan tajuk “Unlocking Operational Excellence through Value Stream Mapping”, yang menekankan kepentingan pemetaan aliran nilai sebagai alat strategik dalam mengenal pasti pembaziran dan mempertingkatkan kecekapan proses. Sementara itu, Encik Nik Faizal Nik Ahmad, Pakar Produktiviti Kanan dari EU-ERA The Future, berkongsi tajuk “Beyond Tools: Cultivating a Holistic Lean Ecosystem”, yang mengupas pembentukan budaya kerja lestari dan pembangunan organisasi jangka panjang.
Simposium turut menampilkan tayangan montaj Finalis Pembentangan Akhir Kecemerlangan Operasi (OE2024) sebagai penghargaan kepada Pusat Tanggungjawab (PTj) yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam penambahbaikan proses kerja. Tayangan ini mencerminkan semangat berpasukan dan kreativiti warga UiTM dalam mengemudi cabaran operasi harian.
Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh Profesor Madya Ts. Dr.-Ing Shahrul Azam Abdullah@Ab Aziz, Pengarah Pengurusan Kualiti, Inovasi dan Kecemerlangan Operasi, InQKA, yang menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta menyeru agar budaya inovasi terus dijadikan landasan utama dalam setiap proses kerja.
Simposium Kecemerlangan Operasi 2025 bukan sekadar program tahunan, tetapi satu gerakan budaya yang menjadikan inovasi dan kualiti sebagai DNA UiTM. Melalui sokongan kepimpinan, penglibatan aktif warga kampus dan perkongsian ilmu bersama industri, UiTM terus melangkah ke hadapan sebagai institusi pendidikan unggul yang bersedia mentransformasi operasinya ke arah kecemerlangan yang lestari dan bertaraf global.
