
JASIN, 18 Ogos 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Jasin telah menganjurkan Program Agricultural Community Extension: Teknologi Tani Desa – Memodenkan Tradisional, yang melibatkan penyertaan seramai 12 orang petani kecil dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jasin pada 24 Jun 2025. Program ini merupakan inisiatif pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pintar Pengeluaran Tanaman (AT228), Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, yang bertujuan memperkasa komuniti tani melalui perkongsian ilmu dan pendedahan kepada teknologi pintar dalam sektor pertanian.
Fokus utama program ini adalah memperkenalkan pendekatan moden dalam pengurusan tanaman, khususnya penggunaan teknologi dron dan kaedah pengurusan haiwan perosak. Antara pengisian penting ialah ceramah interaktif yang disampaikan oleh Dr. Fairuz bin Khalid dan Encik Mohd Zafri bin Ab Wahab, pensyarah dari Fakulti Perladangan dan Agroteknologi. Mereka berkongsi pengetahuan berkaitan penyakit dan perosak tanaman, khususnya padi, serta kaedah pengurusan biotik yang lebih sistematik dan berkesan bagi meningkatkan hasil pertanian.
Program ini turut mendapat sokongan industri melalui kehadiran Encik Muhammad Haikal bin Ab. Halim, wakil daripada Sanyeong Agricultural Solutions Sdn. Bhd., pengedar eksklusif DJI Agriculture Malaysia. Beliau berkongsi aplikasi teknologi dron dalam pertanian, termasuk penyemburan racun perosak, penaburan benih, dan pemantauan kesihatan tanaman. Demonstrasi penggunaan dron yang dijalankan telah membuka mata para peserta terhadap potensi teknologi ini dalam menggantikan kaedah tradisional secara lebih efisien, tepat dan menjimatkan kos jangka panjang.
Maklum balas daripada para peserta menunjukkan tahap keterujaan yang tinggi, khususnya dalam mempelajari teknik moden pengurusan tanaman. Mereka menyambut baik usaha UiTM dalam membawa teknologi ke lapangan dan menyokong pembangunan kapasiti petani kecil secara langsung.
Kerjasama strategik antara akademia dan industri melalui program pengembangan komuniti ini membuktikan komitmen UiTM dalam memacu transformasi sektor pertanian ke arah yang lebih moden dan mampan. Fakulti Perladangan dan Agroteknologi terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh pendidikan, inovasi dan khidmat masyarakat berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi pemimpin dalam pembangunan agro-teknologi negara.
