Program STI 100³ Sesi 1 Dedah Murid Kepada Dunia Genetik

KLANG, 17 Julai 2025 – Program Sains, Teknologi & Inovasi (STI) 100³ Sesi 1 bertajuk “Meneroka Rahsia DNA: Asas Genetik Kehidupan” telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (L) Methodist ACS, Klang, melibatkan penyertaan seramai 108 orang murid Tahun 4 serta enam orang guru pengiring. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif nasional Scientists@Schools: Jom STI!, yang digerakkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Program interaktif ini menampilkan pelbagai aktiviti berteraskan sains seperti eksperimen pengekstrakan DNA daripada buah, demonstrasi gel elektroforesis, pengesanan cap jari, dan Mini Escape Room bertemakan sains. Aktiviti-aktiviti ini direka khas bagi memberi pendedahan awal kepada konsep genetik dan bioteknologi secara menyeronokkan dan mudah difahami oleh murid sekolah rendah.

Program ini diketuai oleh Dr Amirah Abdul Rahman, Saintis lantikan MOSTI, dengan sokongan fasilitator termasuk Dr Wan Nor I’zzah Wan Mohamad Zain, staf-staf Makmal Pelbagai Guna, serta pelajar-pelajar pascasiswazah dari Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Akademi Sains Malaysia (ASM) turut memainkan peranan penting sebagai agen penggerak dalam menjayakan program ini.

Matlamat utama program adalah untuk menyemai minat terhadap STI dalam kalangan murid serta menyokong aspirasi negara dalam melahirkan generasi celik teknologi, inovasi dan berdaya saing. Program ini juga menjadi platform awal untuk membentuk pelapis saintis masa hadapan melalui pendekatan pendidikan yang menyeronokkan dan berimpak tinggi.

Terdahulu, pada 7 Julai 2025, Dr Amirah turut hadir ke sekolah yang sama bagi menyampaikan ceramah bertajuk “STEM dalam Kehidupan Harian”, sebagai sebahagian daripada usaha menyokong peluncuran nasional Program STI 100³.

Peluncuran tersebut mencatat sejarah apabila seramai 8,804 saintis dan 8,804 sekolah terlibat serentak dalam program Scientists@Schools: Jom STI!, sekaligus mencatat dua rekod Malaysia Book of Records bagi kategori Largest Scientist Participation dan Largest School Participation in a Simultaneous STEM Program.

Program STI 100³ dijangka diteruskan secara berperingkat ke sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara sebagai usaha memperkasa pendidikan STI dan membentuk generasi pelapis saintis yang berpengetahuan, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.