
PULAU PINANG, 15 Julai 2025 – Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang telah menganjurkan Bengkel Re-Tune Proprioceptive Neuromuscular Facilitation (PNF) selama dua hari bertempat di Kampus Bertam pada 14 dan 15 Julai 2025. Bengkel ini merupakan inisiatif penjanaan pendapatan fakulti yang memberi manfaat kepada peserta dari pelbagai latar belakang profesional termasuk ahli fisioterapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pusat rehabilitasi swasta, serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Ts. Dr. Mohamad Azhar bin Mohd Noor, Penolong Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam, diiringi oleh Ts. Dr. Muhammad Nabil Fikri bin Roslan, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Kesihatan. Bengkel ini dikendalikan oleh Tuan Haji Bahman bin Jamaluddin, Penyelaras Program Diploma Fisioterapi UiTMCPP yang berpengalaman luas dalam bidang terapi manual dan senaman.
Bengkel ini bertujuan untuk memperkenalkan serta memperkukuh pengetahuan peserta terhadap teori dan aplikasi teknik Proprioceptive Neuromuscular Facilitation (PNF) dalam rawatan pesakit. Teknik PNF terbukti berkesan dalam meningkatkan julat pergerakan (ROM), fleksibiliti, dan kekuatan otot, sekali gus menyumbang kepada keberkesanan rawatan fisioterapi. Namun, penggunaan teknik ini dalam kalangan pengamal fisioterapi masa kini dilihat semakin berkurangan. Justeru, bengkel ini menjadi platform penting untuk menghidupkan semula amalan tersebut secara sistematik dan berkesan.

Sepanjang bengkel, peserta telah mengikuti sesi teori, praktikal, perbincangan kumpulan dan soal jawab yang dirangka secara komprehensif bagi memastikan pemahaman mendalam serta penguasaan teknik yang optimum. Selain memperkukuh kemahiran klinikal, bengkel ini turut berperanan sebagai medium promosi kepada Program Diploma Fisioterapi UiTM serta memperluas jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan pengamal industri kesihatan.
Hasil penjanaan pendapatan daripada bengkel ini akan disalurkan kepada Tabung Amanah Fakulti Sains Kesihatan, yang bertujuan menyokong penyertaan staf akademik dan pentadbiran dalam program luar UiTM yang berkaitan dengan kepakaran fisioterapi. Usaha ini diharap dapat memperkasa pembangunan profesional staf fakulti serta memperkukuh aplikasi teknik terkini dalam bidang fisioterapi.
Penganjuran bengkel seperti ini membuktikan komitmen UiTM dalam memperkasa pendidikan berasaskan kemahiran, memperkukuh jaringan sosial antara institusi dan industri, serta menjana pendapatan secara lestari. Fakulti Sains Kesihatan UiTM Cawangan Pulau Pinang komited untuk meneruskan program seumpama ini demi manfaat komuniti dan pembangunan modal insan negara.
