CSR OMSA UiTM Jengka: Mahasiswa dan Komuniti Bersatu Demi Alam dan Insaniah

UiTM Jengka, 5 Ogos 2025 – Office Management Student Association (OMSA) dari UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka telah berjaya melaksanakan sebuah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) selama dua hari bertempat di Kampung Pantai Serandu, Pekan, Pahang pada 27–28 Jun 2025. Program ini bertujuan memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengasah kemahiran insaniah seperti kerjasama, komunikasi dan kepimpinan melalui pelbagai aktiviti berimpak tinggi yang melibatkan komuniti setempat.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi gotong-royong, pembersihan kawasan pantai, aktiviti kebajikan, serta sesi meditasi yang memberi ruang kepada pelajar untuk menenangkan fikiran dan mengurus tekanan akademik secara lebih berkesan. Program ini turut melibatkan penggunaan sebuah bas rasmi daripada Unit Kenderaan UiTM Cawangan Pahang, yang digunakan untuk membawa peserta dan barangan keperluan, sekaligus memastikan kelancaran sepanjang tempoh pelaksanaan aktiviti.

Seramai 30 orang pelajar dan beberapa pensyarah pengiring daripada dua program akademik—BA132 Diploma in Office Management and Technology dan BA262 Bachelor in Business Technology Management—telah menyertai program ini. Penglibatan pelbagai peringkat ini telah memberi nilai tambah dalam memupuk kesedaran sivik, semangat keusahawanan sosial dan keprihatinan terhadap komuniti luar bandar.

Program ini diketuai oleh Encik Muhammed Soffiq bin Saripin, penasihat OMSA merangkap penasihat program, bersama Siti Aisyah binti Sawaludin selaku Pengarah Program dan Muhammad Razin bin Rizal Ahmad Nazim sebagai Timbalan Pengarah Program. Turut sama menjayakan program ialah dua pensyarah pengiring merangkap penasihat OMSA, iaitu Muhammad Hafiz bin Suhaimi dan Cik Nur Fadhlin Sakina binti Md Saad, serta barisan jawatankuasa OMSA.

Majlis penutup telah dirasmikan oleh Dr Mohd Zaidi bin Mat Saat, yang menyatakan penghargaan atas inisiatif mahasiswa dan pensyarah dalam menggerakkan program yang bukan sahaja memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan alam sekitar.

Lebih bermakna, program ini turut memperlihatkan sinergi erat antara mahasiswa dan penduduk Kampung Pantai Serandu, yang berganding bahu dalam menjayakan setiap aktiviti. Interaksi mesra yang terjalin telah memupuk semangat kebersamaan serta memperkaya pengalaman sosial dan nilai empati dalam kalangan pelajar.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen UiTM dalam membentuk mahasiswa holistik yang peka terhadap isu komuniti dan kelestarian alam, serta menyumbang secara langsung kepada beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), iaitu SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik, SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim, SDG 14: Kehidupan di Bawah Air dan SDG 15: Kehidupan di Darat.

Melalui pelaksanaan program ini, mahasiswa bukan sahaja memperkukuh nilai kemanusiaan dan kepimpinan, malah mengukuhkan hubungan institusi dengan masyarakat melalui pendekatan bersepadu yang menyentuh aspek sosial, mental dan kelestarian alam.