Kota Kinabalu, 28 Jun 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah terus memperkukuh peranannya dalam memupuk kesedaran alam sekitar dan memperkasakan komuniti melalui penganjuran Program Gotong-Royong Komuniti di Pantai dan Kampung Tanjung Aru Lama, Sabah. Program ini merupakan inisiatif bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sabah, dengan kerjasama Kelab Sukarelawan Jasa Siswa (Jasis) serta pertubuhan bukan kerajaan, Trash Hero Cawangan Negeri Sabah.
Program ini berjaya menghimpunkan seramai 112 sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa UiTM, ahli Trash Hero, serta wakil sukarelawan antarabangsa dari Kinabalu International School (KIS), termasuk Miss Mary McPherson. Sepanjang program berlangsung, para sukarelawan telah berjaya mengumpul dan membersihkan sebanyak 923 kilogram sisa buangan di kawasan pantai dan kampung berkenaan.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa dan komuniti setempat mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar. Program ini turut menyemarakkan semangat kebersamaan, memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan, NGO dan masyarakat, serta menyumbang kepada suasana harmoni dalam kalangan warga kampus dan komuniti.
Selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals – SDG) dan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ), program ini menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa dalam usaha pemerkasaan komuniti dan pemeliharaan alam sekitar. Ia juga menyokong pencapaian Petunjuk Prestasi Kampus melalui promosi kempen kesedaran ‘Love Your Earth’, yang menekankan kepentingan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dalam kehidupan seharian.
Program ini turut dihadiri oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sabah, Dr. Dg Ku Habibah Ag Kee, bersama wakil penduduk kampung dan komuniti setempat, yang memberikan sokongan penuh terhadap usaha murni ini. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen bersama dalam membina komuniti yang lebih prihatin terhadap kelestarian alam dan kesejahteraan bersama.
Penulis: Nur Athirah Syafiqah Binti Izamain
Editor: Nurul Huda Roslan