UiTM Raub Jalin Kolaborasi Strategik Bersama Prudential Bagi Perkasa Literasi Kewangan Mahasiswa

Raub, 5 Julai 2025 – Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub terus komited memupuk budaya keusahawanan dan celik kewangan dalam kalangan mahasiswa melalui penganjuran Hari Kolaborasi Bersama Industri: Prudential Financial Youth Education yang berlangsung dengan jayanya. Program ini merupakan komponen utama dalam siri Hari Keusahawanan dan Inovasi: Berani Beridea, Berani Mencipta! sempena pelaksanaan inisiatif Check In @ UiTM Raub 2025, dengan sokongan padu daripada Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), Business Society, dan Prudential Berhad.

Program berimpak ini bertujuan memperkukuh jalinan antara dunia akademik dan sektor profesional melalui pendekatan perkongsian ilmu, pengalaman industri serta latihan simulasi kewangan secara langsung. Objektif utama program adalah untuk meningkatkan literasi kewangan mahasiswa, merangkumi kefahaman terhadap pengurusan aliran tunai, amalan perbelanjaan berhemah, kepentingan simpanan serta perancangan masa depan yang mampan.

Bertempat di Aras 3, Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Raub, program ini menghimpunkan seramai 75 pelajar FPP dan 22 fasilitator industri, dengan pengisian sepanjang hari yang merangkumi dua sesi interaktif. Sesi pagi dimulakan dengan aktiviti simulasi Pengurusan Aliran Tunai, dikendalikan oleh wakil industri yang diketuai oleh Encik Muhammad Fiqry bin Idris, Penolong Pengurus (Corporate Responsibility), Prudential Berhad. Simulasi berasaskan permainan board game itu memberi pendedahan realistik tentang strategi kewangan peribadi, cabaran pengurusan tunai serta nilai membuat keputusan kewangan secara bijak.

Sesi petang pula menumpukan kepada topik insurans, simpanan dan pelaburan, yang disampaikan oleh wakil Prudential Berhad. Penerangan jelas berkaitan platform pelaburan moden dan pentingnya perlindungan kewangan sejak awal membuka ruang kepada mahasiswa untuk menilai dan mengurus kewangan peribadi secara sistematik dan berhemah.

Lebih bermakna, program ini turut menyaksikan pemeteraian Letter of Intent (LOI) antara Prudential Assurance Malaysia Berhad dan UiTM, sebagai simbolik komitmen bersama dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif jangka panjang berkaitan pembangunan mahasiswa, literasi kewangan dan keusahawanan.

Secara keseluruhannya, Hari Kolaborasi Bersama Industri: Prudential Financial Youth Education telah berjaya menjadi platform pertukaran ilmu yang dinamik, memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan industri serta menzahirkan hasrat UiTM untuk melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran profesional, berdaya saing serta relevan dengan landskap semasa ekonomi dan keusahawanan negara.