
Shah Alam, 24 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam terus komited mendukung pemeliharaan alam sekitar menerusi penyertaan aktif dalam Program Pra Penanaman Pokok yang telah berlangsung di Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA). Program ini merupakan hasil jemputan kerjasama bersama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sebagai persiapan kepada acara penanaman pokok utama sempena Hari Hutan Antarabangsa 2025.
Lebih 60 sukarelawan daripada Program Pengurusan Taman dan Ameniti, Fakulti Alam Bina (FAB) UiTM Shah Alam, serta empat pensyarah pengiring, telah menyertai program tersebut. Turut memberikan sokongan teknikal ialah pegawai dari JPSM yang membimbing para peserta dalam proses penyediaan kawasan penanaman.
Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuklah pembersihan kawasan, pembajakan tanah, penggalian lubang, dan penandaan lokasi strategik penanaman pokok. Aktiviti ini bertujuan memastikan ruang yang sesuai dan struktur tanah yang optimum disediakan bagi menjamin kadar kelangsungan hidup pokok yang tinggi serta memperkukuh kelestarian landskap hutan bandar.


Menurut Puan Nurfazliza binti Kamarulbahrin, Penolong Pengarah (Penghutanan Semula), Seksyen Perhutanan Tani & Penghutanan Semula JPSM, program pra penanaman merupakan fasa kritikal yang sering kali terlepas pandang, sedangkan ia memainkan peranan penting dalam kejayaan pemulihan ekosistem hutan. “Penyediaan rapi sebelum aktiviti penanaman dapat meningkatkan kadar hidup pokok dan meminimumkan keperluan penyelenggaraan jangka panjang,” ujar beliau.
Seorang pelajar peserta turut berkongsi bahawa program ini telah membuka peluang pembelajaran secara langsung berkaitan teknik penyediaan tapak yang betul serta meningkatkan kefahaman terhadap usaha pemuliharaan hutan bandar. “Ia pengalaman yang sangat berguna dan membina,” katanya.
Program ini turut memperkukuh kolaborasi strategik antara UiTM dan agensi kerajaan dalam menyokong pelaksanaan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam. Usaha ini selari dengan komitmen negara terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Agenda Hijau Malaysia, serta memperkukuh peranan institusi pendidikan dalam menjana kesedaran dan kepimpinan alam sekitar.
Penglibatan aktif pelajar dalam program ini mencerminkan komitmen UiTM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan pembangunan lestari secara holistik.
