
SHAH ALAM, 21 Julai 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melakar satu lagi pencapaian dalam memperkukuh ekosistem digital negara apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama PetroHorizon Sdn. Bhd. dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Hotel Concorde, Shah Alam. Kerjasama ini menandakan permulaan kolaborasi strategik dalam bidang kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, analitik data raya, kejuruteraan dan keusahawanan digital.
Majlis menandatangani MoU disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PetroHorizon, YBhg. Datuk Mohd Anuar Rosly. Turut hadir menyaksikan majlis bersejarah tersebut ialah Datin Jamaliah Azis, Pengarah Komersil PetroHorizon; PM Dr. Ts. Norjansalika Janom, Dekan Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM serta barisan pengurusan kanan kedua-dua organisasi.
MoU ini memberi fokus kepada pembangunan modul latihan dan perkhidmatan profesional untuk pemain industri petroleum dan gas serta membuka ruang eksplorasi ilmu, pertukaran teknologi dan pemerkasaan tenaga kerja digital. Ia turut menyediakan peluang latihan industri dan prospek kerjaya bagi pelajar serta membuka laluan kepada pensyarah UiTM untuk terlibat secara aktif dengan pihak industri dalam pelaksanaan kursus, penyelidikan dan latihan kemahiran.


Naib Canselor UiTM menyatakan bahawa inisiatif ini adalah langkah penting dalam melahirkan graduan mahir yang mampu menangani cabaran digital. “UiTM komited mewujudkan ekosistem pembelajaran yang kondusif dan relevan dengan teknologi semasa, agar graduan bukan sahaja cekap, malah mampu menjadi penyelesai masalah sebenar dalam industri,” ujar beliau.
Sementara itu, Datuk Mohd Anuar Rosly dari PetroHorizon menekankan bahawa kerjasama ini selari dengan Agenda Digital Nasional, Rangka Tindakan Ekonomi MADANI dan inisiatif seperti Dasar Keselamatan Siber Malaysia (MCSP) dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL). Beliau menyatakan komitmen PetroHorizon dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing global.
Kedua-dua pihak percaya bahawa kolaborasi ini mampu memberi impak langsung dalam membina modal insan digital yang kompeten, beretika dan berdaya tahan, sekaligus memastikan Malaysia kekal relevan dan bersedia menghadapi tuntutan Revolusi Industri 4.0 dan cabaran digital global yang semakin kompleks.
