Pemerkasaan Usahawan Belia: Inisiatif Bersama UiTM & Politeknik Mukah

Mukah, 19 Julai 2025Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus Mukah dengan kerjasama Jabatan Perdagangan serta Unit Penyelidikan, Inovasi dan Komersialan, Politeknik Mukah Sarawak telah berjaya menganjurkan Program Pemerkasaan Usahawan Berjaya bertemakan Modul Asas Keusahawanan selama dua hari bermula 18 hingga 19 Julai 2025 bertempat di Kingwood Hotel, Mukah.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YB Royston Valentine, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N57 Tellian, turut diserikan dengan kehadiran wakil daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Pejabat Daerah Mukah, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), serta agensi pempamer seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Agrobank, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).

Program ini menghimpunkan seramai 40 orang peserta belia berusia antara 18 hingga 40 tahun yang berasal dari kawasan Mukah, Oya, Dalat, dan Igan. Modul yang ditawarkan merangkumi pelbagai aspek penting dunia keusahawanan termasuk Penetapan Minda Usahawan, yang memberi fokus kepada pembentukan sikap dan nilai positif sebagai teras kejayaan. Modul Pengenalan Rancangan Perniagaan pula membimbing peserta menyusun pelan strategik serta hala tuju perniagaan yang berkesan.

Seterusnya, peserta turut didedahkan kepada Modul Pengurusan Perniagaan dan Pentadbiran Organisasi, yang menjurus kepada pengurusan operasi harian dan pembinaan struktur organisasi yang sistematik. Modul Pengurusan dan Bantuan Kewangan pula memberi pengetahuan tentang aliran tunai, bajet serta pendedahan kepada bentuk bantuan perniagaan daripada pelbagai agensi kerajaan. Sebagai penutup, Modul Prosedur Pendaftaran Perniagaan memperjelas langkah rasmi dan keperluan perundangan dalam mendaftarkan entiti perniagaan secara sah.

Program ini menjadi wahana penting dalam memperkasa belia setempat dengan asas pengetahuan keusahawanan yang kukuh, di samping membentuk jaringan sokongan strategik antara universiti, politeknik dan agensi pembangunan. Ia turut mencerminkan usaha berterusan institusi pengajian tinggi dalam menyokong pembangunan ekonomi komuniti setempat melalui pemerkasaan potensi belia dan usahawan baharu yang berdaya saing dan berwawasan.