Kolaborasi UiTM–Indonesia Perkasa Kesedaran Iklim dalam Kalangan Mahasiswa

Kota Samarahan, 15 Mei 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan terus memperkukuh komitmennya terhadap kelestarian global dan kerjasama antarabangsa menerusi penganjuran majlis penutupan program ‘SDG No. 13 Pitching Video Competition’ yang telah berlangsung secara dalam talian. Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Fakulti Perakaunan UiTM Kampus Samarahan bersama dua institusi pendidikan tinggi dari Indonesia, iaitu Universitas Sebelas Maret (UNS) dan Politeknik Harapan Bersama (POLBER).

Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Rektor UiTM Sarawak, YBhg. Prof. Dr. Firdaus Abdullah, dan turut dihadiri oleh wakil antarabangsa iaitu Dr. Lulus Kurniasih, Ketua Program Sarjana Perakaunan UNS, serta Dr. Apt Heru Nur Cahyo, Pengarah POLBER. Kehadiran mereka menyerlahkan komitmen bersama dalam memperkukuh jaringan akademik serantau dan menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Pertandingan ini bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar terhadap SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim, dengan memberi ruang kepada peserta untuk mencadangkan solusi kreatif berkaitan isu perubahan iklim global. Sebanyak 41 kumpulan pelajar dari UiTM, UNS dan POLBER telah menyertai pertandingan ini, menjadikannya platform rentas sempadan yang memperkasa suara mahasiswa dalam isu kelestarian.

Program ini merupakan kesinambungan kepada sesi mobiliti antarabangsa yang telah diadakan pada 11 Oktober 2024 melalui webinar bertajuk “Financial Inclusion and Sustainability”, yang turut mempromosikan agenda kelestarian UiTM di peringkat global.

Antara video terbaik yang telah dinobatkan sebagai pemenang termasuk:

  • UiTM: “Powering a Greener Future: Accelerating Electrification Program and Geothermal Energy Use for Climate Action”
  • UNS: “Our Home, Our Responsibility: Climate Action on Our Earth”
  • POLBER: “Together Towards a Green Campus”

Selain itu, anugerah khas “The Most Promising Video” telah diberikan kepada video bertajuk “3 Minutes SDG’s Competition: Mendukung SDG 13 dengan Pengurangan dan Pengelolaan Limbah Makanan di Lingkungan Kampus” hasil kreativiti pelajar-pelajar dari UNS.

Penganjuran program ini bukan sahaja memperkukuh kesedaran pelajar terhadap isu perubahan iklim, malah menjadi pemangkin kepada penghasilan graduan yang lebih peka terhadap tanggungjawab alam sekitar. Ia juga memperluas jaringan kolaborasi antarabangsa UiTM dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan mampan, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan warganegara global yang berdaya saing dan beretika.

Penulis: Mariam Rahmat