UiTM Terus Komited dalam Agenda Matlamat Pembangunan Mampan Melalui THE Impact Rankings 2025

Shah Alam, 18 Jun 2025 – Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2025 merupakan penarafan global yang menilai pencapaian universiti di seluruh dunia berdasarkan komitmen mereka terhadap 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Penilaian ini dibuat melalui indikator yang disusun secara menyeluruh, meliputi empat bidang utama iaitu penyelidikan, tadbir urus institusi, penglibatan dengan komuniti, dan pengajaran.

Melalui THE edisi 2025, UiTM telah disenaraikan pada kedudukan 301-400 daripada 2,318 buah institusi di seluruh dunia, yang mana mencerminkan ketahanan dan daya saing UiTM dalam landskap global yang semakin kompetitif. Penyertaan 355 buah institusi baharu turut menyumbang kepada peningkatan tahap persaingan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Daripada lapan SDG yang disertai UiTM, SDG 5: Kesaksamaan Gender terus menjadi kekuatan utama universiti, apabila tersenarai pada kedudukan 101-200 di peringkat global. Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan UiTM dalam memperjuangkan kesaksamaan gender, memperkasa wanita serta mewujudkan persekitaran pembelajaran dan pekerjaan yang inklusif. Selain itu, SDG 1: Tiada Kemiskinan, SDG 7: Tenaga Mampu Milik dan Bersih serta SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh turut mencatatkan pencapaian yang baik apabila masing-masing berada dalam kumpulan 300 terbaik dunia. Kejayaan ini menyerlahkan komitmen berterusan UiTM dalam menyokong kesejahteraan komuniti, menerapkan amalan kelestarian di kampus dan melaksanakan tadbir urus tanggungjawab sosial.