UiTM Terpilih Mewakili Delegasi Malaysia di 3rd Commonwealth Chemistry Congress (CCC 2025)

AFRIKA SELATAN, 10 Jun 2025 – Pensyarah Fakulti Gunaan, Universiti Teknologi MARA  (UiTM) Shah Alam, ChM. Dr. Khairil Anuar Jantan telah terpilih mewakili delegasi Malaysia di  3rd Commonwealth Chemistry Congress (CCC 2025) yang berlangsung pada 11 hingga 14 Mei 2025, di Protea by Marriott Hotel Stellenbosch. Jemputan ini menerima tajaan penuh dan kerjasama daripada Royal Society of Chemistry, Federation of Commonwealth Chemistry dan Institut Kimia Malaysia (IKM).

CCC 2025 telah berjaya menghimpunkan lebih daripada 200 ahli kimia dan penyelidik dari 34 negara Komanwel untuk memajukan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengukuhkan kapasiti saintifik, memberi inspirasi kepada peranan sains kimia dalam masyarakat dan dasar, serta meraikan pencapaian dalam penyelidikan dan pendidikan kimia.

Pencapaian yang luar biasa  ChM. Dr. Khairil Anuar bin Jantan dengan penyelidikan inovatif dalam kimia melalui projek “From Waste to Wander: Palladium Recovery Product Catalyze C-H Functionalization and C-N Bond Formation,”  mendapat perhatian pelbagai pihak kerana potensinya untuk merevolusikan kimia industri. Dengan menggunakan reagen yang dan murah dan mudah diperolehi, penyelidikan ini sejajar dengan UNSDG 7 (Tenaga Mampu Milik dan Bersih) dan 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab). Sumbangan beliau menunjukkan komitmen terhadap kemampanan dan inovasi dan pengawasan alam sekitar mampu berjalan seiring.

Penyertaan UiTM dalam kongres ini bukan sahaja menonjolkan pengiktirafan global terhadap kecemerlangan saintifik Malaysia, malah meletakkan universiti ini di peta dunia, selari dengan tema Pelan Strategik UiTM 2020-2025, iaitu “Towards A Globally Renowned University”.

Turut terpilih mewakili delegasi Malaysia, Dr. Muhammad Ameerullah bin Sahudin dari Universiti Malaya (UM) dan Dr. Siti Fatimah Nur binti Abdul Aziz (USM). Kongres ini juga disertai oleh Datuk Dr. Soon Ting Kueh, Presiden IKM, Profesor Yang Farina binti Abdul Aziz, Ahli Lembaga Eksekutif Federation of Commonwealth Chemistry dan Prof. Madya Dr. Lee Hwei Voon, pensyarah UM.