
SEREMBAN, 28 Mei 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban melalui Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA), Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), telah menerima kunjungan hormat daripada Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Profesor Dr. Ahmad Ismail, dalam satu majlis penyerahan sumbangan rasmi yang berlangsung penuh bermakna.
Lawatan ini turut disertai oleh barisan pengurusan fakulti termasuk Dr. Mazlan Che Soh, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FSPPP; Datin Dr. Norsyamaliah Ngah, Koordinator Prasiswazah Program AM226/AM236; serta penasihat BEVA, Puan Saidatul Akma Hamik dan Encik Mohd Idham Mohd Yusof. Majlis turut melibatkan kepimpinan dan Ahli Majlis Tertinggi BEVA.

Dalam sesi tersebut, Persatuan Ekologi Malaysia telah menyumbangkan sebanyak 100 helai jersi dan topi bernilai RM2,940.00 kepada BEVA sebagai sokongan terhadap pelaksanaan program Recycling@U, salah satu inisiatif utama di bawah FSPPP Lestari.
Dalam ucapan ringkasnya, Profesor Dr. Ahmad menekankan kepentingan keterlibatan aktif mahasiswa dalam usaha pemeliharaan alam sekitar, khususnya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim global. Beliau turut menggalakkan BEVA untuk memperluas impak melalui kerjasama strategik, termasuk dalam pemuliharaan ekosistem Sungai Linggi dan inisiatif lapangan lain yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Inisiatif FSPPP Lestari bagi tahun 2024–2025 telah merangkumi pelbagai kempen kesedaran seperti Kempen Larangan Plastik Sekali Guna, Kempen E-Waste, Kempen Minyak Masak Terpakai, dan Kempen Kitar Semula, yang memberi penekanan kepada pendidikan, tindakan berimpak, dan penglibatan komuniti kampus.
Sumbangan ini secara langsung menyokong SDG 17: Kerjasama untuk Matlamat, dan menyumbang kepada pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (PI) fakulti seperti PI 28 (Program kesukarelawanan), PI 29 (Program kepimpinan) dan PI 38 (Modul patriotisme dan inisiatif ESI-IDART).
FSPPP dan BEVA optimis bahawa kerjasama berterusan bersama badan profesional seperti Persatuan Ekologi Malaysia akan terus memperkukuh budaya lestari dalam kalangan warga kampus, selari dengan aspirasi UiTM dalam melahirkan graduan berwibawa, beretika dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
