
SEREMBAN, 21 Mei 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban melalui Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA), Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), telah menganjurkan buat julung kalinya Program Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia Peringkat FSPPP 2025 bertemakan “Memelihara Ekologi dan Kelestarian Alam Masa Depan”.
Program ini dikendalikan di bawah penyeliaan Puan Saidatul Akma Hamik, selaku Penasihat Utama BEVA, dengan objektif utama meningkatkan kesedaran warga kampus terhadap isu biodiversiti serta memupuk nilai tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar dalam kalangan komuniti institusi pendidikan tinggi.

Antara pengisian utama yang menjadi tumpuan ialah forum ilmiah bertajuk “Memelihara Ekologi dan Cabaran Pengurusan Alam Sekitar bagi Menjamin Kelestarian Masa Depan”, yang menghimpunkan tokoh profesional seperti Profesor Dr. Ahmad bin Ismail, Presiden Ekologi Malaysia; Ts. Dr. Khairul Naim bin Adham, Timbalan Setiausaha Bahagian, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam; serta Saudari Nurul Azwa Natasya Md Rasid, pelajar Semester Enam yang mewakili suara generasi muda.
Lebih 300 peserta termasuk pelajar, pensyarah dan warga kampus hadir memeriahkan sambutan ini. Program turut disokong oleh agensi luar seperti Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, PERHILITAN Negeri Sembilan, WWF Malaysia dan MaryKay Malaysia, yang menyumbang kepada pameran interaktif dan sesi perkongsian ilmu.
Sebagai inisiatif hijau, sebanyak 50 semaian anak pokok terung dan cili telah diedarkan kepada peserta hasil sumbangan Pertubuhan Peladang Kawasan Beranang dan Tanjung Karang. BEVA turut menerima tajaan tunai sebanyak RM1,000 daripada AllGreen Timber Product Sdn. Bhd., menjadikan jumlah keseluruhan tajaan bernilai RM3,822.40 termasuk barangan.
Kehadiran wakil pengurusan tertinggi FSPPP menyerlahkan komitmen fakulti dalam memperkasa gaya hidup lestari dan menyokong pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (PI) seperti PI 29 (kepimpinan pelajar), PI 30 (kerjasama industri), PI 31 (kemahiran komunikasi global), dan PI 19 (penglibatan alumni).
Program ini juga menyumbang secara langsung kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 11, 12, 13, 14 dan 15, sejajar dengan aspirasi UiTM dalam melahirkan graduan berpengetahuan, beretika dan bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Penganjuran ini bukan sahaja memperkukuh kesedaran ekologi dalam kalangan pelajar, malah membuka ruang kepada pembangunan jaringan strategik antara institusi, industri dan agensi kerajaan demi menjamin kelestarian untuk generasi akan datang.
