KEPALA BATAS, 10 Jun 2025 – Seramai 78 pelajar Diploma Farmasi tahun dua (semester 4) UiTM Cawangan Pulau Pinang telah menyertai sesi pengajaran kolaboratif (CGCT) bagi kursus PHD224: Chemotherapeutics, Dermatologicals and Immunologicals pada 28 April 2025. Sesi yang berlangsung secara dalam talian melalui Google Meet ini menampilkan kepakaran dari Akademi Farmasi Indonesia Yogyakarta (AFIYO).
Puan Mexsi Mutia Rissa dari AFIYO telah menyampaikan syarahan bertajuk “Fluoroquinolones,” selaras dengan silibus kursus tersebut. Kuliah tersebut merangkumi pengenalan kepada ubat fluoroquinolones, mekanisme tindakan, spektrum antimikrob, kesan sampingan, serta isu kerintangan mikrob yang semakin meningkat.
Pelajar memberikan respons positif dan teruja dengan pendekatan serta perspektif baharu yang disampaikan oleh pensyarah jemputan. Penglibatan pensyarah luar ini secara signifikan memperkaya pengalaman pembelajaran mereka dengan input yang menarik dan cara penyampaian yang berbeza. Pihak fakulti berharap inisiatif seumpama ini akan mendapat sokongan berterusan sebagai platform untuk membuka minda pelajar kepada pembelajaran yang lebih global, interaktif, dan berimpak tinggi.
Program ini selaras dengan matlamat CGCT yang diperkenalkan oleh Centre for Innovative Delivery & Learning (CIDL) UiTM, yang bermatlamat menyediakan peluang pembelajaran merentasi sempadan dan memupuk kerjasama profesional antara pensyarah UiTM dan institusi luar.
Sejak termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Fakulti Farmasi UiTM Kampus Bertam dan AFIYO, pelbagai bentuk kerjasama telah digerakkan untuk mengeratkan hubungan akademik kedua-dua institusi. Sesi pengajaran kolaboratif ini membuktikan komitmen berterusan Fakulti Farmasi UiTM Kampus Bertam dalam menggalakkan perkongsian ilmu dan kepakaran dengan AFIYO.
Usaha kolaboratif ini bukan sahaja meluaskan horizon ilmu pelajar, malah mengukuhkan jalinan antarabangsa yang berpotensi memperkasa bidang pendidikan farmasi di rantau ini.