UiTM Perak Anjur Program ‘Physics Outreach 5.0’, Dedah Pelajar Aplikasi Sinaran Nuklear

TAPAH, 9 Mei 2025 – Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah, berjaya menganjurkan program “Physics Outreach 5.0” bertemakan Aplikasi Sinaran dalam Bidang Perubatan dan Teknologi Nuklear. Program ini menyasarkan pelajar Diploma Sains Semester 4 dalam aliran Fizik.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada sesi pengajaran kolaboratif antara industri nuklear dan UiTM untuk kursus Fizik Moden (PHY310). Tujuannya adalah untuk memperkasa pemahaman pelajar terhadap aplikasi sebenar fizik dalam bidang perubatan dan teknologi nuklear melalui perkongsian ilmu dengan pakar industri.

Slot pertama menampilkan Encik Amry Abas bin Amin, seorang pegawai penyelidik dari Agensi Nuklear Malaysia. Beliau berkongsi kepakaran dalam teknologi nuklear dan aplikasinya dalam pelbagai sektor, termasuk penjanaan tenaga, kawalan mutu industri, serta pengesanan dan rawatan penyakit dalam perubatan.

Sesi kedua diteruskan oleh Cik Nabilah binti Ramli, juga seorang pegawai penyelidik dari Agensi Nuklear Malaysia dan merupakan alumni UiTM. Beliau berkongsi pengalaman kerjaya bermula dari seorang pelajar Diploma Sains aliran Fizik di UiTM hingga berjaya menjadi pegawai penyelidik. Cik Nabilah turut memberi penerangan mengenai risiko radiasi dan cara mengatasinya dalam industri.

Melalui sesi ini, para pelajar berpeluang mendapatkan pendedahan langsung dan interaktif terhadap dunia profesional, sekali gus meningkatkan minat serta kefahaman mereka terhadap subjek yang dipelajari. Program ini turut menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelajar dan secara keseluruhannya, program ini telah berjaya membuka mata dan minda pelajar Diploma Sains aliran Fizik untuk lebih menerokai Fizik dalam pelbagai applikasi kerana bidang fizik ini luas dan sedang pesat membangun. Dengan pendedahan sebegini diharap pelajar beroleh manfaat dan inspirasi dari program ini dan diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform pemindahan ilmu antara industri dan academia.