UiTM Pahang Perkasa Pendidikan Komuniti Melalui Program “Menyemai Ilmu, Membaja Budi”

Bandar Jengka, 20 Jun 2025Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka, telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat bertemakan “Menyemai Ilmu, Membaja Budi” bersama Sekolah Rendah Islam (SERI) ABIM Jengka sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh jaringan komuniti dan kesedaran pendidikan pertanian dalam kalangan pelajar sekolah rendah.

Program yang berlangsung di pekarangan SERI ABIM Jengka ini melibatkan penyertaan lebih 50 orang termasuk pelajar, guru, pensyarah, pelajar UiTM dan staf Unit Pengurusan Ladang FPA, dengan fokus terhadap pemupukan minat terhadap buah-buahan tempatan dan pokok herba sebagai sumber makanan berkhasiat dan elemen pertanian mampan.

Antara pengisian utama program termasuk sesi perkongsian asas penanaman, aktiviti pembersihan kawasan sekolah, aktiviti hands-on menanam pokok, serta aktiviti interaktif “Find & Trace” yang memperkenalkan pelajar kepada nama tempatan tumbuh-tumbuhan. Kehadiran pensyarah dan pelajar UiTM sebagai fasilitator telah menambah nilai kepada pengalaman pembelajaran secara langsung dan berasaskan komuniti.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Dr. Mohd Khairi bin Che Lah, Ketua Pusat Pengajian FPA, bersama Pengarah Program, Cik Nur Masriyah binti Hamzah. Majlis turut menyaksikan penandatanganan sijil jalinan kerjasama antara FPA UiTM Pahang dan SERI ABIM Jengka sebagai simbol komitmen berterusan dalam pendidikan komuniti dan penglibatan sosial universiti.

Inisiatif ini menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2 – Menamatkan Kelaparan, melalui galakan terhadap penanaman makanan secara mampan dan pembangunan persekitaran sekolah yang lestari. Aktiviti ini turut menggalakkan pelajar untuk lebih menghargai alam sekitar serta menyemai nilai tanggungjawab terhadap kelestarian sumber makanan.

Program ini membuktikan bahawa pendidikan luar bilik darjah mampu berfungsi sebagai medium efektif dalam membina sahsiah, literasi pertanian dan kesedaran komuniti. FPA UiTM Pahang komited untuk memperluas program seumpama ini dengan sokongan Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (PJI) demi memperkasa peranan universiti dalam pembangunan komuniti secara berterusan dan berimpak tinggi.