
Shah Alam, 22 Mei 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) (kini dikenali sebagai Fakulti Sains Komputer dan Matematik) terus memperkukuhkan jalinan kerjasama strategik dengan pihak industri melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama empat buah syarikat iaitu Trend Micro Malaysia, AntsBees Sdn Bhd, Acestar Sdn Bhd dan Jazro Technology Robotics Sdn Bhd pada 14 April 2025.
Majlis pertukaran MoU tersebut yang diadakan di Bangunan Canseleri, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, telah disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib, bersama Pengarah Urusan Trend Micro Malaysia, Encik Goh Chee Hoh; Ketua Pegawai Eksekutif AntsBees Sdn Bhd, Encik Sofian Sharin; Ketua Pegawai Eksekutif Acestar Sdn Bhd, Puan Natalie Sit; dan wakil Ketua Pegawai Eksekutif Jazro Robotic Technology Sdn Bhd, Encik Shahrul Naim Muhammad Sapri. Majlis turut disaksikan oleh barisan pengurusan kanan universiti, barisan pengurusan kanan kolej dan wakil-wakil industri.


Selaras dengan aspirasi UiTM untuk menjadi Universiti Terkemuka Global, kerjasama ini bertujuan untuk memperluas peluang kolaborasi dalam bidang penyelidikan, pembangunan teknologi, program latihan industri serta perkongsian pakar antara ahli akademik dan sektor industri. Melalui memorandum persefahaman ini juga diharapkan dapat membuka ruang kepada pelajar untuk menjalani latihan industri, penyelidikan bersama, serta pemindahan teknologi yang dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin turut menekankan bahawa UiTM sentiasa komited dalam membina hubungan strategik dengan industri bagi memastikan kurikulum dan kemahiran yang ditawarkan sejajar dengan keperluan semasa. Kolaborasi ini merupakan langkah penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta menyokong pembangunan inovasi.
MoU ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UiTM dalam menjadikan UiTM sebagai hab kecemerlangan pendidikan tinggi yang mampu menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara melalui jaringan industri yang kukuh. Ini menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya dalam aspek pendidikan berkualiti (SDG4), pekerjaan yang layak dan pertumbuhan ekonomi (SDG8), serta inovasi dan infrastruktur industri (SDG9).
Penulis: Farahnatasyah Abdul Hanan; (Editor: Siti Nur Kamaliah Kamarudin, FSKM News Team)
