UiTM–Indonesia Perkukuh Komuniti Serantau Melalui Program KTP dan USR

JAKARTA, 27 Mei 2025– Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh jaringan antarabangsa menerusi pelbagai inisiatif kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi di Indonesia pada 5 hingga 9 Mei  2025. Delegasi UiTM dari Cawangan Perak dan Sarawak telah menjalin kerjasama dengan Universitas Pamulang, Jakarta dalam rangka kerja menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) yang melibatkan pelbagai program akademik, mahasiswa dan juga masyarakat.

Antara program yang dijalankan ialah kuliah Lestari, kolokium, pembentangan poster akademik serta program mobiliti pelajar di bawah inisiatif Knowledge Transfer Programme (KTP) dan University Social Responsibility (USR). Program Corak Art Workshop turut menjadi platform kolaboratif antara 10 mahasiswa Program Senibina UiTM Perak dari Architecture Student Association (ARCHISA) yang dibimbing oleh En. Faris Arman, serta 10 mahasiswa Prodi Teknik dari Universitas Pamulang. Program Corak Art Workshop ini adalah inisiatif bagi memenuhi sasaran Performance Indicator (PI) UiTM melibatkan PI075- Number of University Social Responsibility Programs (USR), PI076- Number of Knowledge Transfer Programs (KTP), PI078- Total Amount spent (from own funds) for USR & KTP Programs dan PI079- Number of Communities Receiving/ benefiting from the knowledge/ technology diffusion projects.

Selain itu, delegasi UiTM turut berkunjung ke Universitas Indonesia (UI) bagi membincangkan kerjasama akademik dan penyelidikan, khususnya dalam pengajian alam bina. Dalam sesi tersebut, perkongsian syarahan oleh para pensyarah dan juga perkongsian akademik telah berlangsung bersama pihak UI. Para mahasiswa UiTM juga turut menyertai perkongsian syarahan tersebut beserta lawatan ke fasiliti akademik mereka. UiTM melihat kerjasama ini sebagai peluang untuk memperkukuh pengajian alam bina di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.

Sanggar kerja ini diteruskan pada hari berikutnya dengan kunjungan hormat ke Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta. Delegasi UiTM telah mengadakan sesi perbincangan dua hala bersama Education Malaysia Indonesia (EMI) yang diwakili oleh Dr Hasnul Faizal Hushin Amri, Menteri Penasihat (Pendidikan), berkenaan peluang strategik dalam penyelidikan, mobiliti pelajar, serta program USR.

Lawatan kerja turut merangkumi kunjungan ke Sekretariat ASEAN, selaras dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini. Perbincangan tertumpu kepada program strategik dalam kluster Socio-Cultural Community, khususnya yang menyentuh aspek belia, pendidikan, kebudayaan dan seni, serta pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan. Usaha ini menunjukkan komitmen UiTM untuk memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa demi memperkasa ekosistem pendidikan tinggi negara khususnya dalam pengajian alam bina dari cawangan Perak dan Sarawak.

Penulis: Dr Sayed Muhammad Aiman Sayed Abul Khair