
Seremban, 26 April 2025 – Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA), FSPPP UiTM, dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan telah menganjurkan Sambutan Hari Bumi Peringkat Negeri Sembilan 2025 bertemakan “Our Power, Our Planet” di Balai Raya Kampung Dato Mansor, Seremban.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Tuan Veerapan A/L Superamaniam, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan. Dalam ucapannya, beliau menyokong usaha sinergi antara agensi kerajaan dan institusi pendidikan tinggi dalam memperkukuh kesedaran alam sekitar secara berterusan.
Antara agensi yang turut terlibat termasuk Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Spectrum Oil Sdn. Bhd. dan Lak Macros Services Sdn. Bhd..

BEVA memainkan peranan utama dalam menjayakan pelbagai aktiviti pendidikan lestari seperti Eco-Robic, Eco-Sukan Rakyat, SDG Treasure Hunt, serta pertandingan Eko Hero Kecil. Aktiviti-aktiviti ini menekankan pendekatan Education for Sustainable Development (ESD) secara santai dan berinformasi, menyasarkan penyertaan dari pelbagai lapisan umur.
Presiden BEVA, Nur Hidayahtul Aina A Rahman, menyatakan bahawa penglibatan ini merupakan kesinambungan kolaborasi BEVA bersama JAS dalam menyemai kesedaran awam terhadap alam sekitar. Program ini juga memberi peluang promosi kepada Program AM226/236, di samping menyumbang kepada penjanaan dana persatuan dan pencapaian indikator fakulti.

Secara keseluruhan, program ini menyumbang secara langsung kepada enam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) utama iaitu SDG11, SDG12, SDG13, SDG14, SDG15 dan SDG17, selain menyokong pencapaian penunjuk prestasi fakulti dan universiti (PI028 dan PI029) melalui penglibatan dalam program kesukarelawanan dan kepimpinan.
Sambutan Hari Bumi Peringkat Negeri Sembilan 2025 ini membuktikan keberkesanan kolaborasi berterusan antara Jabatan Alam Sekitar Negeri dan FSPPP UiTM dalam memperkasakan program pendidikan komuniti yang berteraskan kelestarian alam sekitar.
