UiTM Bimbing Warga Sekolah dengan Pengalaman Pembelajaran Digital Secara Interaktif dan Kreatif

MERU, 20 Mei 2025 – Program Smart Learning “Celik Multimedia, Cerdas Minda” anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah memberi peluang kepada mahasiswa tahun akhir dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) meneroka dunia pembelajaran abad ke-21 secara interaktif dan kreatif. Program yang diadakan bersama warga sekolah KAFA Integrasi Imam Al-Ghazali adalah bersempena inisiatif Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM).

Program ini telah melibatkan lebih 120 orang murid Tahun 5 serta guru-guru KAFA Integrasi Imam Al-Ghazali, dan dianjurkan oleh 70 orang mahasiswa daripada program Sarjana Muda Sains Komputer (Pengkomputeran Multimedia) CDCS253. Program yang diketuai oleh Saudara Mohd. Aniq Bin Johari, selaku pengarah program serta diiringi oleh Cik Wan Athirah Wan Endut selaku pensyarah pembimbing program bertujuan untuk memperkukuh pemahaman para murid dan guru terhadap penggunaan teknologi digital dan aplikasi multimedia terkini dalam pembelajaran seharian.

Pelbagai aktiviti menarik dan interaktif telah dianjurkan sepanjang program, antaranya sesi ceramah perkongsian ilmu bertajuk “Belajar Guna Multimedia – Lagi Mudah, Lagi Seronok” dan “Pembelajaran Kreatif dengan Aktiviti Interaktif dan Multimedia” yang disampaikan oleh mahasiswa UiTM, diikuti dengan sesi soal jawab dan kuiz bersama murid-murid. 

Murid-murid turut terlibat dalam aktiviti berkumpulan seperti Design Robot, Make the Robot, dan Virus Crossword, yang merangsang daya kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah, pemikiran logik serta memberi kesedaran dalam isu semasa berkaitan serangan cyber yang hangat di era kini. Dalam masa yang sama, para guru juga turut berpeluang mengikuti bengkel Creating Creative Slides Using Canva bagi memberi pendedahan teknologi terkini dalam menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta memperkasakan teknik pengajaran menggunakan medium digital yang lebih menarik dan berkesan.

Puan Norin binti Tamsir, selaku Ketua Guru KAFA Integrasi Imam Al-Ghazali menyatakan di dalam ucapan aluannya bahawa, “Program ini sangat bermakna bagi murid-murid. Mereka bukan sahaja menerima pendedahan kepada pembelajaran yang lebih interaktif dan menyeronokkan, tetapi juga didedahkan kepada kemahiran-kemahiran yang akan membantu mereka melihat dunia dengan perspektif yang lebih luas.”

Program ini bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar UiTM untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti, malah turut memberi impak positif kepada para murid dan guru melalui pendekatan pembelajaran moden yang selari dengan aspirasi Pendidikan Abad Ke-21 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) berkaitan Pendidikan Berkualiti (SDG 4), Inovasi dan Infrastruktur (SDG 9), serta Perkongsian untuk Matlamat (SDG 17), sekaligus menyokong pembentukan masyarakat berilmu dan pembangunan Malaysia Madani.

Penulis: Muhammad Ashraf Nazri

Editor: FSKM News Team