
Puncak Alam, 12 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, melalui Unit Hal Ehwal Islam dengan kerjasama Persatuan Rakan Masjid, telah menerima kunjungan seramai 46 murid prasekolah dan 9 guru pengiring daripada Prasekolah Permata Cilik Az-Zahrawi dalam Program Kembara Ibadah Cilik yang berlangsung di Surau Ibnu Sina, Kampus Puncak Alam.
Program ini dirangka khusus untuk menyemai nilai-nilai murni Islam dalam kalangan kanak-kanak melalui pendekatan santai dan interaktif. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah penerangan adab di surau, latihan praktikal wudhu’, solat sunat dhuha, sukaneka, gotong-royong dan sumbangan infaq. Pengisian program telah disusun bagi membentuk asas sahsiah unggul serta memupuk kecintaan terhadap ibadah dan rumah Allah dalam kalangan peserta seawal usia.


Menurut pihak penganjur, penganjuran program sebegini selaras dengan aspirasi UiTM Cawangan Selangor untuk memperkukuh peranannya bukan sahaja sebagai institusi kecemerlangan akademik, tetapi juga sebagai pemangkin pembangunan sosial dan spiritual. Ia turut membuka ruang interaksi positif antara universiti dan komuniti setempat melalui penglibatan langsung dalam aktiviti keagamaan dan pendidikan berasaskan nilai.
UiTM Cawangan Selangor merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini dan berharap agar hubungan ukhuwah bersama masyarakat terus diperkukuh demi membina generasi yang berilmu, berakhlak dan bertaqwa.
Penulis: Noor Rashidah A. Rahman
Editor: Nor Azyyati Md Saad & Inarah Ajhar
