Revolusi Visual: Meneroka Animasi Digital Melalui Canva

Shah Alam, 14-15 Mei 2025 – Unit Komunikasi dan Pengembangan Ilmu, Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), UiTM Shah Alam telah berjaya menganjurkan Kursus Aplikasi Canva (Animation) selama dua hari bertempat di Makmal 14, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Shah Alam. Kursus ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan kemahiran staf dan pelajar dalam bidang reka bentuk digital dinamik yang semakin relevan dalam era komunikasi visual masa kini.

Seramai 38 orang peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar UiTM terlibat sepanjang sesi bengkel ini berlangsung. Kursus ini memberi penekanan kepada penggunaan ciri-ciri animasi, pembentangan visual dan kandungan digital interaktif menggunakan platform Canva. Kursus ini dikendalikan oleh dua orang penceramah berpengalaman dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM iaitu Encik Mahathir bin Ahamad dan Puan Norasikin binti Alimom.

Objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk mempertingkatkan kefahaman peserta dalam penggunaan Canva, khususnya dalam penghasilan poster animasi, infografik bergerak, video pendek promosi, serta kandungan MP4 dan GIF untuk media sosial dan pembentangan digital. Para peserta turut diperkenalkan dengan teknik penggunaan AI Canva seperti Magic Write dan Text to Image, selain ciri-ciri automasi pemasaran digital dan pembinaan portfolio dalam Canva.

Antara pencapaian peserta termasuklah penghasilan video pendek, infografik dinamik, serta templat jualan digital yang kreatif dan praktikal untuk diaplikasikan dalam bidang masing-masing.

Sesi penutup turut menyaksikan pembentangan hasil kerja peserta. Sebanyak lima (5) video pendek menggunakan teknik reka letak dan animasi dihasilkan oleh para peserta secara berkumpulan. Idea-idea kreatif peserta dizahirkan dalam bentuk video menunjukkan kemampuan mereka mengaplikasikan ilmu yang diperolehi dalam tempoh yang singkat.