Podcast HEA Capai Objektif: Pindaan Akademik Kesihatan Emosi Pelajar Jadi Fokus

Pulau Pinang, 22 Mei 2025 – Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) UiTM Cawangan Pulau Pinang dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Unit Pembangunan Kaunseling (UPK) telah berjaya menganjurkan Podcast HEA bertajuk “Pindaan Pekeliling Akademik Baharu & Cara untuk Mengurus Stress”, yang disiarkan secara langsung melalui platform rasmi Facebook HEA UiTMCPP.

Program ini bertujuan memberikan penerangan jelas mengenai pindaan syarat lulus kursus dalam Peraturan Akademik Diploma dan Sarjana Muda (Pindaan 2021) Bil. 1, serta menyampaikan sokongan psikososial kepada para pelajar.

Panel jemputan terdiri daripada Timbalan Rektor HEA, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Hajah Siti Noraini Binti Sulaiman; Pegawai Psikologi Kanan, Puan Nur Fazlin Shazana Bt Mohamad Safiai; dan Exco Akademik MPP, Muhammad Shakir bin Sani selaku moderator.

Podcast ini berjaya menarik lebih 600 pendengar dalam kalangan pelajar dan menerima maklum balas positif. Pelbagai persoalan yang dikemukakan pelajar berjaya dijawab secara langsung, menjadikan podcast ini platform berkesan dan mesra pelajar dalam menyampaikan maklumat penting universiti. Melalui podcast ini, pelajar memperoleh pemahaman yang lebih jelas mengenai pindaan pekeliling akademik baharu, di samping menjadi salah satu medium penyampaian sokongan pihak kampus kepada pelajar dalam mengurus dan melaksanakan perubahan akademik tersebut.

Usaha ini mencerminkan keprihatinan pihak universiti terhadap kebajikan dan kesejahteraan akademik mahasiswa, selaras dengan komitmen untuk terus menyokong pembangunan holistik pelajar UiTM.

Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Hajah Siti Noraini Binti Sulaiman, Tuan Ahmad Syahmi Bin Tuan Mohd Rosli