13 Mei 2025 – Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin telah menerima kunjungan akademik seramai 15 pelajar Doktor Falsafah (Ph.D) dari Program Sains Alam Sekitar, Sekolah Pascasiswazah, Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada program Latihan Praktikal Lapangan (PKL) pelajar UNP dalam usaha memperkaya ilmu dan pengalaman mereka dalam bidang pengurusan alam sekitar secara antarabangsa.
Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat pengenalan mengenai struktur dan peranan Pusat Pengajian Pascasiswazah FPA dan pelajar kemudiannya didedahkan dengan syarahan khas bertajuk “Oil Palm Plantation in Malaysia: Overview, Impact, and Future Prospects”. Syarahan ini membuka ruang pemahaman tentang landskap industri sawit di Malaysia, termasuk cabaran semasa dan potensi masa hadapan sektor ini dalam rangka pembangunan lestari.
Yang lebih mengujakan, pelajar-pelajar UNP juga diberi peluang membentangkan hasil kajian mereka yang berkaitan dengan topik alam sekitar. Pembentangan ini membuka ruang kepada dialog ilmiah bersama pensyarah dan penyelidik UiTM dalam usaha memperhalusi dapatan kajian serta membina jaringan akademik merentas negara. Beberapa pelajar turut menyuarakan minat untuk meneroka peluang kolaborasi penyelidikan dan mobiliti jangka panjang bersama UiTM.
Sepanjang sesi berlangsung, pelajar menunjukkan semangat dan keterujaan yang tinggi, khususnya dalam meneroka pendekatan pengajaran dan penyelidikan secara bersemuka. Mereka menzahirkan rasa gembira kerana dapat berinteraksi secara langsung dengan pensyarah-pensyarah tempatan dan menyatakan bahawa pengalaman ini sangat bermakna dalam memperkasa kompetensi global mereka sebagai calon pakar dalam bidang alam sekitar.
Lawatan ini mencerminkan komitmen FPA dalam menyokong agenda antarabangsa pendidikan tinggi, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), serta memperkukuh jaringan sinergi dan kolaborasi bersama institusi serantau.
Penulis – Nor Azma Yusuf
Penulis Bersama – Siti Amni Ismail