
Batang Kali, 23 April 2025 – Persidangan World Landscape Architecture Month (WLAM) 2025 anjuran Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dengan kerjasama ILAM Centre of Excellence kembali buat kali ke-9 dengan penganjuran berimpak tinggi yang menampilkan wacana landskap kontemporari berteraskan keindahan alam dan nilai warisan. Persidangan ini telah berlangsung dengan jayanya di lokasi eksklusif Rumah Sungai/Bonda Valley by Rozita Ibrahim, Batang Kali, yang memberikan latar semula jadi dan senibina Melayu asli sebagai inspirasi utama sepanjang acara.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Dr. Mazifah binti Simis, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Landskap Negara. Turut hadir ialah Yang Dipertua MPHS, YBrs. Puan Julaihah binti Jamaludin (A.M.S) dan Presiden Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM), Prof. Madya LAr. Dr. Nor Atiah binti Ismail, yang bersama-sama menyokong usaha memperkukuh jaringan profesional dalam industri landskap negara.

Persidangan ini menampilkan dua segmen utama, iaitu sesi ceramah oleh tujuh penceramah berpengalaman pelbagai disiplin dan sesi forum yang menampilkan empat ahli panel dari kalangan penggubal dasar, pemaju, landskap arkitek dan akademik. Antara pengisian penting ialah pembentangan oleh LAr. Ts. Sharifah Khalizah Syed Othman Thani bertajuk “Landscape for Mental Restoration: Merging Neuroscientific Insights into Landscape Design”, yang menyentuh aspek pemulihan mental melalui rekaan landskap berpandukan kajian neurosains.
Sesi forum pula menyaksikan Dr. Mohd Zahid bin Mohd Salleh, wakil termuda dalam kalangan panel, menyumbang pandangan dalam perbincangan bertajuk “Park for All” yang mengetengahkan aksesibiliti inklusif dan keperluan taman rekreasi bagi pelbagai lapisan masyarakat termasuk komuniti istimewa. Forum ini membuka ruang kepada perspektif pelbagai pihak dalam menilai aspek biodiversiti, fungsi sosial serta peranan landskap dalam membina komuniti sejahtera.
Penglibatan pensyarah daripada Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM, dalam persidangan ini memperlihatkan komitmen akademik dalam menghubungkan ilmu dengan masyarakat secara langsung. Sinergi antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, dan industri diyakini dapat memperkasakan agenda landskap lestari dan menyemai kecintaan terhadap seni bina Melayu serta alam sekitar dalam kalangan generasi akan datang.
