Kolaborasi UiTM Perlis & Sekolah Agama Al-Islahiyah Perkasakan Bahasa Arab (المغامرات العربية)

Arau, 7 Mei 2025 – Program pengembaraan bahasa Arab di bawah anjuran Research Interest Group Arabic Language Education (RIG ALE) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Akademik (HEA), Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat, Alumni Dan Keusahawanan (PJIMA), Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM Cawangan Perlis dan Sekolah Agama Al-Islahiyah (Menengah) telah berjaya dilaksanakan pada 26 April 2025 bertempat di Dewan Dato’ Dr Haron Din, Sekolah Agama Al-Islahiyah (Menengah). Program ini telah berjaya menarik minat dan menerima penglibatan 100 orang pelajar Tingkatan 1. Program kolaborasi ini membuka ruang bagi perkongsian kepakaran bahasa Arab daripada tenaga pakar UiTM Cawangan Perlis.

Program yang dilaksanakan selama sehari ini bertujuan untuk menerapkan konsep ’belajar sambil bermain’ dan kaedah pembelajaran kosa kata bahasa Arab yang pelbagai. Pengisian slot ceramah telah disampaikan oleh penceramah yang terdiri daripada pensyarah kanan bahasa Arab UiTM Cawangan Perlis, Dr Nadhilah Abdul Pisal dan Dr Ummi Syarah Ismail serta dibantu oleh tiga orang pensyarah APB dan 16 orang pelajar program Ijazah yang mahir bagi slot aktiviti berkumpulan antaranya permainan bahasa, kuiz interaktif dan persembahan ’kalam jamaie’.

Menurut wakil guru dan pelajar, program ini berjaya meningkatkan keyakinan serta kefahaman pelajar terhadap bahasa Arab dengan baik. Secara keseluruhan, program ini mencapai objektif utamanya dan dicadangkan untuk diteruskan serta dikembangkan ke peringkat yang lebih luas sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkasa penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar sekolah agama.

Pogram kolaborasi dan penyampaian ilmu ini bukan sahaja menyediakan platform untuk para pelajar atau guru berinteraksi secara langsung dengan pakar industri, malah program ini juga dapat mempromosikan UiTM sebagai salah satu universiti pilihan yang menawarkan pembelajaran bahasa Arab di peringkat pengajian tinggi.