
Jengka, 16 April 2025 – Program Klinik Bimbingan Kerjaya Siri 1/2025 telah berjaya dilaksanakan secara dalam talian dengan penglibatan seramai seramai 90 orang mahasiswa dari pelbagai fakulti UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Program ini memberi fokus kepada pembangunan kemahiran insaniah (soft skills) dalam kalangan mahasiswa sebagai persediaan awal menghadapi dunia kerjaya selepas tamat pengajian.
Sesi yang berlangsung dari jam 8.30 malam hingga 10.00 malam ini disampaikan oleh Encik Muhamad Naim bin Haji Jamaludin, Pegawai Psikologi Kanan UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Melalui sesi ini, pelajar didedahkan kepada elemen penting dalam pembentukan personaliti unggul, komunikasi berkesan, etika profesional serta pengurusan diri – aspek yang semakin diberi perhatian oleh pihak industri dan majikan kini.

Para peserta turut diperkenalkan kepada platform pembangunan kerjaya MyNext (www.mynext.my), sebuah inisiatif oleh TalentCorp dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Platform ini membolehkan pelajar membina profil kerjaya, menilai tahap kemahiran insaniah mereka, serta memperoleh cadangan kerjaya berdasarkan minat dan potensi. Penekanan terhadap penggunaan MyNext dilihat sebagai salah satu strategi untuk memperkukuh kebolehpasaran graduan UiTM melalui pendekatan kendiri yang lebih tersusun dan berpandukan data.
Sambutan positif daripada mahasiswa pelbagai fakulti terhadap program ini dapat dilihat melalui penglibatan secara aktif sepanjang sesi. Mereka mengambil peluang dengan mengajukan soalan berkaitan realiti pasaran kerja, jangkaan majikan, dan strategi memaksimumkan potensi diri semasa di universiti.
Inisiatif ini merupakan salah satu usaha Unit Psikologi dan Kaunseling dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkasakan kemahiran kerjaya pelajar secara holistik. Secara langsung, ia turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan 8 (SDG 8) : Decent Work and Economic Growth, iaitu memberi ruang kepada mahasiswa membina asas kerjaya yang mampan dan bersedia menempuh cabaran masa hadapan.
Program ini telah dirangka untuk diteruskan dalam siri-siri yang berfokus kepada tema-tema kerjaya lain yang relevan, termasuk simulasi temu duga, penampilan diri, penulisan resume dan pendedahan kepada dunia pekerjaan sebenar.
