UiTM Puncak Alam, 21 Mei 2025 – Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM melalui Jabatan Pengurusan & Rantaian Bekalan (DTSCM) telah menganjurkan Sesi Perkongsian Industri “Kesihatan Mental di Tempat Kerja: Peranan dan Tanggungjawab Organisasi”. Sesi yang berlangsung selama 2 jam ini telah dihadiri oleh lebih 100 pelajar yang mengikuti kursus OPM538: Pengurusan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Pekerjaan.
Penceramah jemputan, Encik Mohd Bakhtiar bin Mohd Pahroraji yang merupakan Ketua Kumpulan Pembangunan Insan & Budaya Organisasi, MSM Malaysia Holdings Berhad telah berkongsi pandangan serta pengalaman berkaitan kepentingan menangani isu kesihatan mental dalam persekitaran kerja. Beliau menekankan bahawa isu kesihatan mental kini menjadi aspek yang amat penting dalam membina persekitaran kerja yang sihat, produktif, dan mampan.
Beliau turut berkongsi beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh MSM Malaysia Holdings Berhad dalam menjaga kesejahteraan mental kakitangannya. Antaranya termasuklah pelaksanaan program kesedaran kesihatan mental dalaman, sokongan psikologi berstruktur, sesi kaunseling yang mudah diakses, serta latihan kepimpinan bagi memastikan pengurus dan penyelia memahami tanda-tanda tekanan dalam kalangan kakitangan mereka. MSM juga meletakkan penekanan kepada amalan komunikasi terbuka dan penyediaan suasana kerja yang menyokong keseimbangan antara kerja dan kehidupan.
Sesi perkongsian ini bukan sahaja membuka mata pelajar terhadap peranan penting organisasi dalam menjaga kesihatan mental pekerja, malah memberi mereka panduan praktikal dan inspirasi tentang apa yang perlu mereka lakukan untuk menjadi graduan yang bersedia dan relevan.
Melalui program ini juga, para pelajar diingatkan agar tidak hanya menguasai kemahiran teknikal, malahan perlu memiliki ketahanan mental, kecekapan komunikasi, kemampuan menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu, serta kesediaan untuk belajar dan berkembang secara berterusan sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Peluang menjalani latihan industri yang dijalani perlu diambil serius sebagai platform untuk membina keyakinan diri, mempelajari etika kerja, dan memahami budaya organisasi sebenar.
Secara keseluruhannya, program ini dilihat telah berjaya merapatkan hubungan antara industri dan akademik, serta memberi impak positif kepada pelajar dari segi kesedaran, ilmu praktikal dan motivasi.
Penulis : Dr Mohd Zamri Abu Bakar, Dr Ariff Azly Muhamed