IRIDeX 2025 Perkasa Pengantarabangsaan Akademia

 

Tangerang Selatan, 29 Mei 2025 – Pertandingan Poster Lestari International Research, Innovation & Design Exhibition 2025 (IRIDeX 2025) yang berlangsung pada 6 Mei 2025 telah mencatatkan kejayaan cemerlang hasil kerjasama strategik antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak dan Cawangan Sarawak bersama Universitas Pamulang (UNPAM), Indonesia. Bertemakan “Advancing Construction and Facility Management: Integrating Research, Innovation and Industry Best Practice,” IRIDeX 2025 mengetengahkan peranan penyelidikan dan inovasi dalam memperkukuh amalan terbaik industri pembinaan dan pengurusan fasiliti.

Program ini merupakan salah satu inisiatif utama ke arah memperkasakan pembangunan kapasiti akademia dalam konteks pengantarabangsaan, yang dilaksanakan melalui pendekatan kolaboratif merentas negara. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Oksidelfa Yanto, M.H., Wakil Rektor IV UNPAM, sekali gus menandakan permulaan kepada hubungan akademik serantau yang semakin erat.

Sebanyak 37 penyertaan poster telah diterima, melibatkan 31 poster daripada UiTM Cawangan Perak dan Sarawak, serta 6 poster daripada UNPAM. Seramai 12 orang delegasi UiTM hadir secara fizikal di UNPAM yang terdiri daripada barisan pensyarah. Kehadiran delegasi tersebut membuktikan kesungguhan institusi dalam menjalin kerjasama akademik berimpak tinggi.

Pertandingan poster telah dilaksanakan secara hibrid iaitu secara bersemuka dan secara dalam talian, dan proses penjurian melibatkan wakil akademik dari ketiga-tiga institusi. Kriteria penilaian merangkumi aspek inovasi, reka bentuk penyelidikan, dan keberkesanan penyampaian.

Sebanyak 5 penyertaan menerima Anugerah Platinum, 12 penyertaan menerima Anugerah Emas, 13 penyertaan menerima Anugerah Perak, dan 7 penyertaan menerima Anugerah Gangsa. Semua poster yang dipertandingkan kini dalam proses penerbitan secara digital dengan nombor ISBN, sebagai inisiatif pemindahan ilmu yang seiring dengan indikator Knowledge Transfer Programme (PI076) serta memberi manfaat langsung kepada komuniti (PI079).

IRIDeX 2025 bukan sekadar pentas pertandingan, malah menjadi platform yang menghubungkan penyelidikan, inovasi dan amalan industri di peringkat antarabangsa. Inisiatif seperti ini diyakini dapat melonjakkan lagi jaringan akademik dan profesional antara institusi pengajian tinggi rantau ini serta menyumbang ke arah pembangunan mampan dalam bidang pengurusan fasiliti dan pembinaan.

Penulis : Dr Adnin Syaza Jaafar