Shah Alam, 17 Mei 2025 – Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), UiTM Shah Alam, dengan kerjasama Kelab Matematik UiTM dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), telah menganjurkan International Day of Mathematics (IDM UiTM 2025) yang berlangsung pada 14 Mac hingga 17 Mei 2025. Bertemakan “Mathematics, Art, and Creativity”, program ini diadakan sempena sambutan Hari Matematik Antarabangsa yang diraikan pada 14 Mac setiap tahun.
Majlis perasmian IDM 2025 telah disempurnakan oleh Dr. Mohd Nizam Yunus, mantan Dekan Hal Ehwal Pelajar yang berlangsung secara dalam talian pada 14 Mac 2025. Webinar Antarabangsa IDM UiTM yang menampilkan perkongsian kepakaran daripada Universitas Riau (UNRI) dan Universitas Lampung (UNILA), Indonesia pada 9 Mei 2025 merupakan kemuncak program ini telah berjaya melibatkan hampir 400 peserta dari Malaysia dan Indonesia.
Manakala, pertandingan Olimpiad Matematik (MO-IDM UiTM) yang berlangsung pada 26 April dan 10 Mei 2025 telah berjaya menarik penyertaan seramai 290 pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Pada 17 Mei 2025 pula, UiTM Maths Day 2025 telah dilaksanakan di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam dengan kehadiran lebih daripada 500 pengunjung. Acara ini menampilkan pelbagai aktiviti interaktif seperti pertandingan mewarna, kuiz matematik, kelas robotik dan pameran permainan matematik berinovasi oleh pelajar FSKM. IDM UiTM 2025 menzahirkan komitmen UiTM dalam memartabatkan pendidikan STEM secara holistik dan inklusif, sekali gus menyokong aspirasi universiti sebagai peneraju transformasi pendidikan tinggi bertaraf global.
Majlis Penutup IDM UiTM 2025 ini turut disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, sebagai simbol sokongan berterusan universiti terhadap inisiatif pendidikan matematik yang bersifat merentasi disiplin dan budaya.
Penulis: Dr Nadhirah Abdul Halim(Editor: Farahnatasyah Abdul Hanan, FSKM News Team)