Fuyoh Digital Marketing Kongsi Strategi Digital dengan 176 Pelajar UiTM Perak

SERI ISKANDAR, 23 Mei 2025 – Satu sesi pengajaran dan pembelajaran kolaboratif telah dilaksanakan melibatkan pelajar-pelajar Diploma yang mengikuti kursus ENT300 – Asas Keusahawanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar bersama Puan Ainin Sofia Muhamad Asri, seorang pakar dalam bidang pemasaran yang juga merupakan Pengarah Urusan Fuyoh Digital Marketing.

Beliau telah dijemput khas bagi menyampaikan syarahan dalam talian yang bertemakan “Crafting Winning Marketing Plan Strategies From the Perspective of Today’s Market”, bertujuan memperkasa pengetahuan pelajar tentang strategi pemasaran kontemporari khususnya dalam ekosistem digital.

Sesi disertai seramai 176 orang pelajar diploma daripada pelbagai program pengajian. Pendekatan pengajaran kolaboratif ini berpaksikan Model 2, iaitu penyampaian ilmu daripada pakar industri berpengalaman, dengan penumpuan kepada keberkesanan kaedah penyampaian dan pemindahan ilmu secara langsung dari lapangan sebenar.

Pelaksanaan program ini amat signifikan dalam memperkukuh pemahaman pelajar terhadap realiti dunia pemasaran, di samping menyediakan mereka untuk menghasilkan Cadangan Pelan Perniagaan sebagai sebahagian daripada penilaian akhir kursus ENT300. Usaha ini turut mencerminkan sinergi antara institusi pendidikan dan industri, yang berjaya mengoptimumkan sumber dari segi masa, kos serta perkongsian ilmu, sekali gus meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan sejajar dengan keperluan semasa industri.

Dr. Megat Muzzamir Megat Abu Bazar, Nor Tasnim Syahera Rasak, Mohamad Alif Azmiezal Mohd Azmi