SHAH ALAM, 27 Mei 2025 – Seramai 30 orang anak yatim dan asnaf dari Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Paya Jaras telah diraikan dalam Program “Santuni Sahabat Cilik: Dari Hati Kepada Komuniti” yang dianjurkan oleh Persatuan Pengurusan Taman dan Ameniti (PAMS), Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada 10 Mei 2025.
Program yang berlangsung di Fakulti Alam Bina itu bertujuan memberi peluang kepada anak-anak kurang bernasib baik untuk merasai sendiri suasana kehidupan sebagai pelajar universiti turut melibatkan penyertaan 30 orang sukarelawan yang terdiri dari pelajar UiTM serta pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Taman dan Ameniti.
Penasihat Persatuan Pelajar PAMS berkata, “Matlamat kami bukan sahaja untuk memberi pendedahan tentang kehidupan kampus, malah untuk menyemai semangat dan minat mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi”.
Sepanjang program berlangsung, peserta cilik berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif seperti lawatan sekeliling kampus, sukaneka, aktiviti berkumpulan dan sesi perkongsian pengalaman sebagai mahasiswa. Program ini turut diserikan dengan penyampaian cenderahati dan sesi bergambar kenangan.
“Kami berharap program sebegini dapat menjadi jambatan silaturahim antara mahasiswa dengan masyarakat, serta membuka ruang kolaborasi komuniti yang lebih bermakna pada masa akan datang, “ jelas Pengarah Program, Armein Iskandar bin Supangat.
Dengan sokongan padu daripada pihak fakulti dan sumbangan pelbagai pihak, program ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Inisiatif ini juga dilihat seiring dengan usaha UiTM memperkasa tanggungjawab sosial universiti dan memperkukuh hubungan institusi dengan masyarakat setempat.
Penulis : Mas Aiyu Jamaludin & Mazzueen Md Khalid