Jakarta, 27 Mei 2025 – Delegasi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak yang terdiri daripada 8 orang pensyarah dan 10 orang pelajar telah mengadakan lawatan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia pada 7 Mei 2025.
Lawatan ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara UiTM dan pihak kedutaan, di samping meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang akademik, penyelidikan serta pembangunan pelajar di peringkat antarabangsa. Delegasi telah disambut mesra oleh pegawai-pegawai kanan kedutaan yang diketuai oleh Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri, Menteri Penasihat (Pendidikan), yang turut berkongsi maklumat mengenai peranan kedutaan serta potensi jaringan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam bidang pendidikan.
Sesi dialog turut diadakan bagi membincangkan peluang mobiliti pelajar, program pertukaran budaya, serta penglibatan dalam aktiviti komuniti rentas negara. Lawatan ini memberi pendedahan bermakna kepada pelajar mengenai fungsi diplomatik dan peranan Malaysia dalam hubungan antarabangsa. Delegasi turut melawat Sekretariat Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) bagi membincangkan peluang kolaborasi, perkongsian ilmu, geran dan kerjasama berkaitan. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam memperkukuh jaringan global serta memupuk semangat keterlibatan antarabangsa dalam kalangan warganya.
Pegawai Sekretariat ASEAN berkongsi taklimat komprehensif berkenaan visi dan misi ASEAN, serta peranan penting yang dimainkan oleh institusi pengajian tinggi dalam memperkukuh integrasi serantau. Antara aspek penting yang dibincangkan termasuklah peluang kolaborasi akademik dan penyelidikan antara UiTM dan institusi rakan ASEAN, penyertaan dalam program geran dan dana ASEAN yang menyokong projek-projek pendidikan dan belia, penglibatan dalam program pertukaran pelajar dan latihan industri rentas negara ASEAN, perkongsian ilmu dan kepakaran melalui seminar, bengkel dan persidangan anjuran ASEAN.
Lawatan ini memberi ruang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan pegawai ASEAN, sekaligus membuka minda terhadap kepentingan kerjasama serantau dalam konteks pembangunan mampan dan keterlibatan global. Inisiatif ini menandakan komitmen UiTM dalam mendukung aspirasi Malaysia sebagai negara anggota aktif ASEAN, selain memperkasa para pelajar dan pensyarah untuk menjadi ejen perubahan dan duta akademik dalam rangka kerjasama serantau.