BEVA UiTM Seremban Anjur Alumni Talk 2025 Tekankan Realiti Kebolehpasaran Graduan

Seremban, 15 April 2025 – Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA), Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), UiTM Kampus Seremban telah berjaya menganjurkan BEVA Alumni Talk 2025 bertemakan “Employability Skills – The Reality” secara dalam talian menerusi platform Microsoft Teams dan YouTube Live. Program ini menarik penyertaan lebih 250 peserta dari pelbagai kampus UiTM serta beberapa universiti lain termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penganjuran ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada pelajar Program AM226 dan AM236 berkaitan hala tuju kerjaya serta kemahiran kebolehpasaran yang diperlukan dalam pasaran kerja semasa, khususnya dalam sektor berkaitan alam sekitar dan kelestarian.

Program ini menampilkan wakil-wakil alumni yang kini berkhidmat dalam pelbagai organisasi, termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan alam sekitar dan sektor utiliti. Para alumni telah berkongsi pengalaman sebenar alam pekerjaan serta menekankan keperluan graduan untuk menguasai kemahiran insaniah dan mendapatkan pensijilan profesional sebagai nilai tambah.

Turut diundang sebagai panel industri ialah wakil kanan dari syarikat utiliti utama negara yang berkongsi peluang latihan industri dan kerjaya serta memberikan panduan praktikal berkaitan etika kerja dan kebolehpasaran.

Menurut Pengarah Program, Muhammad Nazwan bin Nazri, program ini memberi impak positif dalam menyokong pembangunan pelajar secara holistik dan memperkukuh hubungan kolaboratif antara institusi, alumni dan sektor industri.

Program ini juga menyumbang kepada pencapaian tiga Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) utama iaitu SDG4 (Pendidikan Berkualiti), SDG8 (Pekerjaan dan Pertumbuhan Ekonomi yang Baik) serta SDG17 (Perkongsian untuk Matlamat), di samping menyokong indikator prestasi fakulti seperti PI29 (Program Kepimpinan) dan PI30 (Penyertaan Industri dalam Aktiviti Kerjaya).