
JENGKA, 15 April – UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah berjaya menganjurkan program UiTM Outreach: Promosi dan Bicara Minda Kaunselor pada 15 April 2025. Program yang berlangsung di Bilik Latihan Staf kampus ini menghimpunkan 30 kaunselor dari daerah Jerantut, Temerloh, dan Maran.
Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa MISI Akademik UiTM Pahang ini dirasmikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik (HEA), Prof. Madya Dr. Hajah Nazirah Ramli. Dalam ucapan alu-aluannya, beliau menekankan peranan penting kaunselor dalam membimbing pelajar ke arah pendidikan tinggi yang sesuai.
Pengisian program merangkumi tayangan video korporat UiTM, taklimat kemasukan ke UiTM oleh Encik Mohd Faizal Azrul Muhamad @ Che Harun, serta pengenalan program akademik oleh ketua pusat pengajian daripada 10 fakulti. Sesi soal jawab interaktif turut diadakan bagi membolehkan kaunselor berinteraksi dengan wakil fakulti.


Inisiatif pertama seumpamanya ini bertujuan memberikan pendedahan mendalam kepada kaunselor mengenai laluan kemasukan, keunikan program akademik, dan peluang di UiTM. Maklum balas positif diterima daripada kaunselor yang menyifatkan maklumat yang diperoleh sangat membantu dalam membimbing pelajar lepasan SPM.
Program ini selaras dengan matlamat Sustainable Development Goals (SDG) UiTM, khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 17 (Kerjasama untuk Matlamat). Ia turut menyumbang kepada pencapaian penunjuk prestasi universiti PI081 dan PI086. Para kaunselor berharap program ini dapat diteruskan di daerah lain bagi memperluas akses kepada maklumat pendidikan berkualiti.
Penulis bersama: Dr. Neni Kartini Che Mohd Ramli, Muhammed Soffiq Saripin, Dr. Nik Muhammad Farhan Hakim Nik Badrul Alam, Muhammad Hafiz Suhaimi, dan Mohamad Risham Jaafar
