UiTM Kuala Pilah & Pangasinan State University Anjur Webinar Kesiapan Kerjaya Antarabangsa

Kuala Pilah, 20 Mei 2025 – Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah, dengan kerjasama Pangasinan State University (PSU), Filipina, telah menganjurkan dua siri webinar bertajuk “Stand Out in the Job Market: Perfecting Your Cover Letter, CV and Interview Skills” sepanjang bulan Mac. Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada staf dan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti di peringkat antarabangsa, selain meningkatkan pengetahuan serta kemahiran mereka sebagai persiapan menghadapi dunia pekerjaan.

Sesi pertama webinar, bertajuk “Perfecting CV and Leveraging LinkedIn”, berlangsung pada 25 Mac 2025 dan dikendalikan oleh Cik Anis Shahira Bazlan (UiTMCNS) serta Dr. Levi Jethro N. Balgua (PSU). Sesi ini berjaya menarik penyertaan seramai 251 peserta dari kedua-dua negara.

Sesi kedua, bertajuk “Preparing for Interview”, diadakan pada 27 Mac 2025 dan disampaikan oleh Puan Mazliyana Zainal Arifin (UiTMCNS) serta Dr. Ailene A. Batang (PSU). Seramai 187 pelajar dari Malaysia dan Filipina telah menyertai sesi ini untuk mendalami teknik temu duga bagi meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan.

Kedua-dua sesi webinar menerima maklum balas yang sangat positif daripada para peserta, yang menyatakan bahawa topik yang dibincangkan amat relevan, terutamanya bagi pelajar tahun akhir. Ramai berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai persediaan memasuki pasaran kerja yang semakin mencabar.

Penganjuran webinar ini mencerminkan komitmen UiTM Negeri Sembilan dan PSU dalam memperkukuhkan hubungan akademik serta menyediakan platform bagi pelajar memperoleh kemahiran praktikal yang diperlukan dalam bidang profesional.

Penulis: Mazliyana binti Zainal Arifin, Dr Rafidah binti Kamarudin