Raub, 8 Mei 2025 – Seramai 38 orang mahasiswa daripada Change Agent Club (CAC), UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub telah menjayakan program kesukarelawanan bertemakan “Sentuhan Kasih: Lawatan Prihatin” pada 27 April 2025 bertempat di Rumah Kebajikan Warga Emas At-Taqwa, Kampung Sempam Baru. Program ini berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 3) – Good Health and Well-Being dan berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Program ini menampilkan dua pengisian utama iaitu Sesi Gotong-Royong dan Sesi Ziarah Mesra. Aktiviti gotong-royong melibatkan kerja-kerja pembersihan kawasan rumah kebajikan termasuk memotong rumput, menyapu dan menyusun semula barang penghuni. Hal ini bertujuan untuk mencipta persekitaran yang lebih bersih dan selesa. Sesi Ziarah Mesra pula memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendekati warga emas, berkongsi cerita dan menyelami pengalaman hidup mereka.
Kehadiran mahasiswa disambut dengan penuh mesra dan mencetuskan suasana yang harmoni dan menyentuh hati para penghuni. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti setempat, malah memberi impak besar kepada mahasiswa dalam memupuk nilai murni seperti prihatin, empati dan tanggungjawab sosial.
Program ini selaras dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah serta memperkukuh budaya kesukarelawanan dan kepimpinan dalam kalangan pelajar.
Penulis bersama: Nurul Afzan Najid