Semangat Kemanusiaan Pelajar UiTM Dengkil Lahirkan Projek Telaga di Kemboja

Dengkil, 16 April – Kelab Khidmat Masyarakat Pusat Asasi, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil telah melakar sejarah apabila berjaya melaksanakan satu program kemanusian hasil kutipan dana bagi membiayai Projek Wakaf Telaga Komuniti (Waqf Community Water Well Project) kepada penduduk Kampung Khleach, Wilayah Tbong Khmum di Kemboja. Projek ini merupakan projek kerjasama strategik melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA dan Global Ehsan Relief Cambodia (GERC) dan telah dilaksanakan pada 30 Mac 2025 bersamaan 29 Ramadan 1446H yang telah memberi kegembiraan kepada 60 buah keluarga.

Pengumpulan dana ini adalah hasil kutipan daripada program-program yang telah dianjurkan oleh Kelab Khidmat Masyarakat sepanjang tahun 2024 – 2025. Dana yang berjaya dikumpul telah diserahkan secara rasmi kepada pihak GERC yang telah di wakili oleh Ustaz Zahry Mosa, selaku Pengurus Global Ehsan Relief Cambodia.

Disamping melakukan kerja kemasyarakatan, projek ini juga secara langsung berjaya menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 6: Air Bersih dan Sanitasi, yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membolehkan penduduk mendapatkan air bersih bagi kegunaan seharian.

Kelab Khidmat Masyarakat Pusat Asasi, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil berharap agar usaha ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak projek kemanusiaan, selaras dengan aspirasi UiTM dalam membentuk generasi mahasiswa yang cakna, prihatin dan berjiwa global.

Penulis – Faiezah Binti Abdullah, Irwan Affendi Bin Md Naim dan Zazaleena Binti Zakariah