DENGKIL, 23 April – Unit Sains Komputer, Pusat Asasi UiTM Dengkil telah berjaya menganjurkan program “Discovering AI: Unlocking The Future” yang bertujuan memperkasakan literasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam kalangan pelajar. Program ini disertai oleh hampir 250 pelajar Asasi Undang-Undang.
Inisiatif ini diadakan bagi memberikan pendedahan awal mengenai perkembangan terkini dalam bidang AI, sejajar dengan kemajuan teknologi global dan kandungan kursus ICT di peringkat asasi. Tajuk program mencerminkan usaha meneroka potensi AI dan impaknya terhadap pekerjaan, perundangan, serta kehidupan masyarakat.
Program yang berlangsung dari pukul 8 malam hingga 10.30 malam ini menampilkan Ts. Dr. Syed Mohd Zahid bin Syed Zainal Ariffin, Pensyarah Kanan dari KPPIM, UiTM Shah Alam, sebagai penceramah jemputan. Beliau yang merupakan pakar AI dengan pengiktirafan daripada AI Singapore dan Meta, berkongsi pelbagai isu berkaitan aplikasi AI dalam perundangan, cabaran etika AI, serta kepentingan literasi digital dalam Revolusi Industri 4.0.
Pendekatan interaktif dan contoh aplikasi AI dalam dunia sebenar berjaya menarik minat pelajar. Di akhir program, hampir 80% peserta lulus ujian atas talian dan bakal menerima sijil kompetensi daripada AI Singapore dan Meta.
Penganjuran program ini memberikan impak positif kepada UiTM dan Pusat Asasi, termasuk memperkukuh reputasi universiti dalam memperkenalkan teknologi masa hadapan, membuktikan keupayaan Pusat Asasi dalam membangunkan kemahiran teknologi pelajar, serta memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dengan AI Singapore dan Meta. Program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran pelajar mengenai peranan AI dalam masa depan mereka.
Penulis: Zazaleena Zakariah, Nazatul Azleen Zainal Abidin