Program Jelajah CNC Perkukuh Jaringan Komuniti dengan Pusat Asasi UiTM

DENGKIL, 14 April – Pusat Jaringan Komuniti (CNC) UiTM telah berjaya mengadakan Program Jelajah CNC @ Pusat Asasi: Merintis Program Komuniti Berimpak di Pusat Asasi UiTM, Dengkil pada 14 April 2025. Program tiga jam yang dihadiri oleh 40 pensyarah dan staf Pusat Asasi ini bertujuan memperkukuh sinergi antara CNC dan Pusat Asasi dalam melaksanakan program jaringan komuniti yang berimpak tinggi.

Pengarah CNC, YBrs. PM Dr. Siti Hafsyah Idris menyampaikan taklimat mengenai peranan CNC dalam memperkasa komuniti melalui inisiatif pemindahan ilmu dan khidmat masyarakat. Program ini memberi pendedahan kepada warga Pusat Asasi mengenai usaha CNC dan menggalakkan penglibatan aktif institusi akademik dalam pembangunan sosial. Sesi libat urus yang diadakan berjaya mencetuskan idea baharu untuk inisiatif berasaskan komuniti.

Program ini mencapai tiga impak utama iaitu memperkukuh sinergi strategik antara fakulti dan pusat komuniti, meningkatkan kesedaran tanggungjawab sosial dalam kalangan warga akademik, serta memperkasa budaya ilmu dan nilai kemanusiaan. Program Jelajah CNC @ Pusat Asasi ini diharapkan menjadi titik tolak kepada perancangan inisiatif pemindahan ilmu yang lebih tersusun dan menjadikan Pusat Asasi sebagai rakan strategik dalam menjayakan misi universiti untuk membina hubungan yang bermakna dengan masyarakat.

Penulis: Zazaleena Zakariah dan Faiezah Abdullah