Program CBDRM UiTM Perak & Kesiapsiagaan Bencana Tingkat Kesedaran Penduduk

Kuala Kangsar, 19 Mei 2025 – Seramai lebih 90 penduduk dari Kampung Sayong Hulu, Kampung Sayong Tebing, Kampung Jias, dan Kampung Basong telah menyertai dua program berkaitan kesiapsiagaan bencana yang berlangsung pada 17 Mei 2025. Program Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) serta Program Latihan Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana dianjurkan secara kolaboratif oleh UiTM MERCY Resilient Community Center (UMRCC) UiTM Cawangan Perak, MERCY Malaysia Perak Chapter (MMPC), Think City, dan Yayasan Khazanah.

Kedua-dua program bertujuan untuk memperkukuhkan daya tahan komuniti luar bandar terhadap risiko bencana melalui pendekatan berasaskan komuniti. Antara pengisian utama termasuklah pemetaan risiko kawasan, pelan tindakan komuniti, serta latihan kesiapsiagaan dan tindak balas bencana bagi memastikan penduduk lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Program Latihan Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana, yang diadakan di Masjid Hidayatul Ummah, turut menampilkan sesi khas berkaitan kesihatan awam oleh Dr. Ruzita Mustaffa. Beliau menekankan kepentingan persediaan menghadapi fenomena cuaca ekstrem seperti gelombang haba, khususnya bagi golongan warga emas dan kanak-kanak.

Pensyarah-pensyarah UiTM Cawangan Seri Iskandar, termasuk Ts. Dr. Dzulkarnaen Ismail dan Ts. Mohd Nasurudin Hasbullah, turut berkongsi kepakaran mereka mengenai pengurusan risiko dan pembangunan komuniti. Menurut salah seorang peserta, program ini memberi perspektif baru kepada penduduk mengenai kepentingan persediaan awal dan tindakan kolektif dalam menghadapi bencana.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkasa komuniti luar bandar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka terjaga dalam jangka panjang.

Penulis bersama: Prof Madya Sr Dr Yuhainis Abdul Talib, Ts Dr Dzulkarnaen Ismail, Ts Mohd Nasurudin Hasbullah