Menjelajah Dunia AI: Pelajar Celik Teknologi Menerusi Mastering AI Tools: From Theory to Practice

ARAU, 19 April – Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis telah berjaya menganjurkan Program “Mastering AI Tools: From Theory to Practice” pada 19 April 2025 di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis. Program ini merupakan sebahagian daripada “The 3rd International Science and Technology Colloquium (i-COSTECH 2025)”.

Program ini disertai oleh 224 pelajar tahun akhir dan pascasiswazah serta 30 pensyarah dari pelbagai program di bawah Fakulti Sains Gunaan termasuk Fizik, Kimia, Biologi, Teknologi Polimer, dan Teknologi Marin.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Rektor Penyelidikan & Jaringan Industri UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Prof. Madya Dr. Wan Izhan Nawawi bin Wan Ismail, mewakili Rektor UiTM Cawangan Perlis. Turut hadir ialah Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan, YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim, dan Ketua Pengarah Program, YBrs. Dr. Roziana Mohamed Hanaphi.

Dua penceramah jemputan diundang untuk berkongsi kepakaran iaitu Prof. Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak dari UiTM Cawangan Perlis dan Dr. Faharol Zubir dari Fakulti Pengurusan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini merangkumi empat sesi utama. Prof. Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak menyampaikan sesi bertajuk “Mastering the Art of Thesis Writing”. Sementara itu, Dr. Faharol Zubir mengendalikan tiga sesi lain iaitu “Introduction to AI Tools: ChatGPT, Deepseek”, “AI-Assisted Literature Review Writing”, dan “AI for Presentation, Charts and Infographics”.

Penganjuran program ini bertujuan memberikan pemahaman mendalam mengenai potensi dan aplikasi AI dalam membantu pelajar menyediakan tesis, termasuk mempercepat pencarian maklumat, menganalisis data dengan tepat, menjana idea, dan memahami konsep melalui tutorial interaktif.

Pihak penganjur merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan program ini dan berharap agar inisiatif ini dapat diteruskan bagi memartabatkan bidang teknologi serta memberi peluang kepada pelajar dan tenaga akademik untuk mendalami potensi AI dalam pengajaran dan pembelajaran.

Penulis: Dr Nurul Aizan Mohd Zaini, Dr Zuliahani Ahmad dan Dr Rozilah Rajmi